SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar permohonan peruntukan RM3.9 juta kepada Kementerian Kewangan (MOF) semalam bagi program latihan dan pembangunan sukan hoki lima sebelah (5s) untuk tempoh lima tahun mulai tahun ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata peruntukan itu juga akan digunakan untuk persediaan pasukan negara ke Piala Dunia Hoki 5s pada 2028.

"KBS bersama Majlis Sukan Negara (MSN) telah menghantar satu bajet kepada MOF dan sedang menunggu kelulusan. Peruntukan ini adalah untuk pasukan hoki 5s lelaki dan wanita, dan pasukan ini akan diberikan segala yang diperlukan untuk mereka hadapi persaingan Piala Dunia akan datang.

"Ini adalah bajet tambahan yang kita hantar. Jemaah Menteri juga amat gembira dengan pencapaian mereka dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga mengucapkan tahniah kepada pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan skuad hoki 5s lelaki yang muncul selaku naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Malaysia muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 pada Rabu malam (awal pagi Khamis waktu Malaysia) selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu memulakan kempen peringkat Kumpulan D dengan keputusan seri 3-3 menentang tuan rumah Oman sebelum mencatat dua kemenangan masing-masing mengatasi Amerika Syarikat 3-2 dan Fiji 8-3 bagi mengesahkan slot ke suku akhir.

Skuad kebangsaan yang bergelar naib juara Kumpulan D kemudian menumpaskan juara Kumpulan C Trinidad dan Tobago 5-4 di peringkat suku akhir sebelum mengesahkan kemaraan ke final apabila mengatasi Poland 4-3 pada aksi separuh akhir.

Sementara itu, Hannah berkata skuad hoki 5S lelaki juga bakal menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000 berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan itu.

Beliau berkata KBS juga akan membuat pembayaran semula wang yang telah dibelanjakan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi kempen piala dunia itu.

-- BERNAMA