KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelantikan 16 anggota Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi sesi 2023/2025 yang terdiri daripada individu berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pelantikan keanggotaan baharu itu dilakukan bagi memastikan hala tuju PSM dalam pengurusan fasiliti yang berdaya mampan, mengamalkan tadbir urus korporat yang baik serta menyediakan perkhidmatan efisien dan profesional kepada semua pihak.

"Perkara itu turut melibatkan usaha bagi merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosikan gaya hidup sihat," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan KBS hari ini.

Menurut Hannah lima daripada anggota perbadanan itu adalah wanita iaitu merangkumi 31.25 peratus keahlian, yang akan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi serta pengurusan kanan mencipta semula pendekatan terhadap industri pengurusan fasiliti untuk semua.

PSM bagi sesi 2023/2025 turut dianggotai individu dalam sektor korporat dan persatuan sukan antaranya Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John serta Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril.

Selain Mohd Faidz, turut tersenarai Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali yang mewakili sektor kerajaan.

-- BERNAMA