ALOR SETAR:Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menzahirkan harapan agar pihak kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara dapat memberi kebenaran agar kejohanan tertua di Asia Tenggara iaitu Piala Malaysia dapat diteruskan dalam masa terdekat.

Menurut Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, cadangan terbaik ketika ini adalah kesemua perlawanan berbaki dapat diadakan di negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Perlis, Kelantan atau Pahang.

Beliau turut yakin bahawa cadangan berkenaan tidak akan menimbulkan mana-mana masalah kepada Persatuan Bolasepak (FA) atau Kelab Bolasepak (FC) yang terlibat asalkan kejohanan itu dapat diteruskan.

Tambah Sanusi, penangguhan Piala Malaysia juga akan menyebabkan kebanyakan pasukan terpaksa menanggung kos lebih tinggi khususnya dari segi pembayaran gaji selain masalah kontrak pemain yang kebanyakannya akan tamat penghujung bulan ini.

Pasukan yang layak ke kejohanan peringkat Asia pula seperti Kedah dijangkakan akan berdepan dengan kesuntukan masa bagi mempersiapkan skuad terbaik menjelang musim hadapan.

"Kita terpaksa akur lah dengan (arahan Piala Malaysia ditunda) tu, (tetapi) kita minta FAM buat rayuan kepada MKN atau kerajaan persekutuan di mana bukan sahaja Kedah, negeri lain pun sama juga. Lagi lama kita tunggu lagi lambat habis, kita agak tertekan dengan persiapan musim hadapan, kalau cepat habis lagi bagus.

"Kalau (perlawanan) tak boleh main di Kedah, main di Pahang, (kerana) negeri dia (status) hijau, atau di Kelantan atau di Perlis, lawan sana kalau mereka mahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Pada Isnin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan saingan Piala Malaysia 2020, akan ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

BACA: Piala Malaysia ditangguh - Ismail Sabri

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun buat masa ini pertandingan bola sepak diadakan tanpa penonton, namun MKN berpendapat sukan itu melibatkan sentuhan antara pemain yang boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.