ALOR SETAR: Kedah akan melaksanakan program i-talent bagi mencungkil dan mencari bakat baharu atlet para untuk digilap bagi mewakili negeri itu pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata program di peringkat akar umbi itu akan dilaksanakan bermula bulan depan di 12 daerah selaras hasrat kerajaan negeri untuk memastikan Kedah mempunyai atlet pelapis yang berpontensi menggantikan atlet para sedia ada dan seterusnya menjadi atlet kebangsaan.

"Kita akan mencari bakat untuk sukan-sukan tertentu yang dipertandingkan dalam Para SUKMA dan kita yakin lebih banyak atlet dapat dilahirkan melalui program ini," katanya selepas majlis penyerahan insentif kepada atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2022 di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata pada Temasya Para SUKMA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 Nov tahun lepas, seramai 63 atlet kontinjen Kedah berjaya memenangi 39 pingat secara keseluruhan.

Beliau berkata atlet Kedah berjaya memungut 11 pingat emas, 16 perak dan 12 gangsa serta berada di kedudukan keenam daripada 15 negeri yang mengambil bahagian pada temasya itu.

Sementara itu, pada majlis hari ini, insentif berjumlah RM88,000 disampaikan kepada atlet terlibat dengan kategori individu pingat emas menerima RM3,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000) manakala bagi kategori dua pemain, pemenang pingat emas memperoleh RM2,000 seorang, perak (RM1,000 seorang) dan gangsa (RM750 seorang).

Bagi kategori tiga hingga enam pemain, pemenang pingat emas mendapat RM1,500 seorang, perak (RM750 seorang) dan gangsa (RM500 seorang), manakala bagi kategori tujuh pemain ke atas, pemenang pingat emas menerima RM1,000 seorang, perak (RM500 seorang) dan gangsa (RM300 seorang).

Muhammad Sanusi berkata berkata bagi jurulatih Para SUKMA, ganjaran yang diberi pula berjumlah RM500 seorang bagi sukan yang memenangi pingat emas.

-- BERNAMA