Felda United FC menyifatkan kejayaan melangkah ke final Piala FA 2014 pada 7 Jun ini sebagai hadiah terbaik untuk semua warga peneroka Felda atas sokongan padu terhadap pasukan itu.

Ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berkata peneroka tidak jemu memberi galakan dan sokongan penuh kepada pasukan sehingga layak ke final Piala FA buat pertama kali.

Felda United menggunakan kelebihan gol di tempat lawan untuk menyingkirkan juara bertahan Kelantan dengan agregat 5-5 selepas pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam.

Pada separuh akhir kedua semalam, kedua-dua pasukan seri 2-2 manakala seri 3-3 pada separuh akhir pertama di Kota Baharu, 6 Mei lepas.

Felda United akan bertemu dengan juara Piala Malaysia 2013, Pahang di final selepas skuad 'Tok Gajah' mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 2-1 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Irfan Bakti mengakui skuad Pahang, kendalian Zainal Abidin Hassan, merupakan sebuah pasukan yang hebat dan tetap menghormati pasukan lawannya itu.

Beliau turut gembira dengan keadaan pemain import tengah, Zah Rahan Krangar dari Liberia, yang pulih daripada kecederaan dan dapat beraksi pada final nanti.

"Apa yang perlu dipertingkatkan ialah kekuatan mental serta konsentrasi pemain sepanjang perlawanan. Pemain sering hilang tumpuan apabila sedang mendahului sesuatu perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kelantan, George Boateng ternyata kecewa dengan keputusan itu setelah pasukan itu mensia-siakan beberapa peluang jaringan di babak kedua perlawanan.

"Kami menampilkan corak permainan terbuka di samping melepasi banteng pertahanan lawan beberapa kali...saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka bermain dengan begitu gigih serta mengikut arahan yang diberikan.

"Kami kalah kerana Felda hanya jaring gol secara kebetulan sahaja," kata Boateng, jurulatih kelahiran Ghana berusia 38 tahun itu.

Katanya beliau kini menetapkan sasaran menduduki empat tempat terbaik dalam
Liga Super serta menaruh harapan agar skuad 'The Red Warriors' itu akan memperagakan aksi hebat pada Piala Malaysia musim ini.

Selepas 17 perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga keenam Liga Super dengan mengumpul 25 mata manakala Selangor menduduki persada liga dengan 34 mata.