Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih bersaing di Kejohanan Dunia apabila melangkah ke separuh akhir, selepas cabaran beregu wanita terkandas, pada saingan Jumaat.

Dalam senario sama sejak beberapa tahun lalu, Chong Wei terus menjadi sandaran terbaik negara apabila mudah melepasi lawannya, Hu Yun dari Hong Kong yang juga pilihan ke-13 dengan 21-12, 21-18 di Istora Senayan - gelanggang keramat yang pernah menyaksikannya muncul juara Terbuka Indonesia sebanyak lima kali.

Dalam permainan selama 35 minit itu, Chong Wei jelas menguasai permainan walaupun cuba diasak Hu khususnya di set kedua.

"Saya boleh nampak keseriusan dan kelainan permainan Hu Yun kali ini tetapi saya berjaya kuasai permainan," katanya.

Namun sebarang harapan untuk menyaksikan Chong Wei berentap dengan juara dunia enam kali, Lin Dan berkubur apabila Istora Senayan terus menjadi badi buat pemain China itu selepas tewas 12-21, 15-21 kepada pilihan kedua dari Denmark, Jan O Jorgensen.

Sebagai rekod, Lin Dan tidak pernah memenangi sebarang gelaran individu di Indonesia kecuali acara berpasukan Piala Thomas 2008. Malah, dia tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Indonesia, Jun lepas.

"Siapa pun lawan saya, saya tidak peduli, yang paling penting saya fokus...Saya tahu semua mahu lihat saya bertemu Lin Dan," katanya.

Chong Wei berkata apa yang penting baginya ialah untuk memburu gelaran dunia, satu daripada dua kejohanan utama yang belum pernah ditaklukinya selain pingat emas Sukan Olimpik.

Kejohanan Dunia kali ini mungkin menjadi pentas terakhir buat dirinya memenuhi impian itu kerana dia mungkin bersara selepas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Untuk rekod, tiada Kejohanan Dunia diadakan pada tahun diadakan Sukan Olimpik.