KIM PAN-GON menyimpulkan kerjasama kelab Liga Malaysia (Liga-M) sebagai penyumbang utama kejayaan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023.

Pan-gon menyahut seruan untuk meraih kelayakan automatik Piala Asia 2023 apabila muncul naib juara Kumpulan E selain kempen Piala AFF, hujung tahun ini.

Pan-gon dilantik Februari lalu berikutan prestasi longlai pasukan kebangsaan dalam Piala AFF di Singapura yang menggoncangkan senario bola sepak tempatan pada awal tahun ini.

"Kalau tiada asas di sini, ia mustahil (untuk layak).

"Saya perlu berterima kasih kepada semua pasukan Liga Super dan pemilik kelab dan pemain. Contohnya JDT (Johor Darul Ta'zim) dan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas sokongan mereka melepaskan 15 pemain. Ia satu kebiasaan buat mereka.

"Bukan kerana jurulatih kerdil seperti saya untuk melakukan sesuatu.

"Saya membuat tuntutan tinggi terhadap presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd Amin. Dia sentiasa cuba memenuhi permintaan dan kemudahan yang kami perlukan.

"Saya dapat lihat pemain berpotensi. Ini bukan usaha saya sebaliknya pihak tempatan," katanya.

[TERKINI] Piala Asia 2023: Tamatkan kemarau 43 tahun, Malaysia benam Bangladesh 4-1


Malaysia membuatkan penyokong resah dalam babak pertama apabila Bangladesh sempat menyamakan kedudukan 1-1 sebelum mengakhiri permainan 4-1. - Stadium Astro



Malaysia membuatkan penyokong resah dalam babak pertama apabila Bangladesh sempat menyamakan kedudukan 1-1 sebelum mengakhiri permainan 4-1.

Begitupun, Pan-gon tetap tenang dengan situasi itu kerana menyedari pemain-pemainnya berkemampuan tetapi tidak berselindung bahawa keampuhan di jentera serangan boleh membawa perbezaan lebih besar pada kemudian hari.

"Malam ini perdana menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) turut datang, terima kasih kepada kerajaan dan presiden FAM yang sentiasa berikan sokongan penuh kepada saya dan pasukan.

"Terima kasih kepada pemain Harimau Malaya, saya bangga dengan mereka, betapa bagusnya mereka kerana dapatkan berikan keterujaan dan tenaga dalam perlawanan ini. Apa yang diharapkan penyokong dapat diberikan.

"Kami mengerah kudrat dan cuba menyerang. Kami masih perlu perbaiki serangan, kalau cipta peluang perlu sudahkannya.

"Tapi saya yakin berdasarkan separuh masa pertama.

"Pemain sudah berikan aksi yang terbaik. Saya tiada rungutan kepada mereka, saya pesan kepada mereka ini bahawa festival ini dihadiri seramai 50,000 penyokong yang datang dengan harapan untuk tonton satu perlawanan menarik.

"Sejak beberapa perlawanan lalu lagi saya tuntut penyerang lebih berbisa. Saya tidak mahu pemain mengendurkan asakan biarpun sudah mendahului dengan satu atau dua gol.

"Penyokong datang hendak tengok aksi dinamik," katanya.

*Artikel asal disiarkan di Stadium Astro