PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengesahkan bahawa aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia dan Oman pada 26 Mac depan secara rasminya kekal akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan itu, Pesiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac, dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium itu semalam.

Hasil pemeriksaan dan penilaian dalam lawatan berkenaan mendapati persediaan padang menjelang perlawanan pada tarikh perlawanan itu masih mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap terbaik untuk aksi menentang Oman.

Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac ini sebelum pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro