SUKAN
Kemelut FAM: 'Buang saka' demi kepimpinan yang baik

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa berkata, FAM perlu 'dibersihkan'bagi memastikan barisan kepimpinan mampu menerajui persatuan tersebut dengan lebih baik. - FAM via Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Kemelut kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan mempunyai 'saka' yang menghantui badan tersebut.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa berkata, susulan itu FAM perlu 'dibersihkan' bagi memastikan setiap individu dalam organisasi berkenaan bersikap profesional, berintegriti tinggi serta mampu bekerjasama dalam pasukan tanpa mementingkan diri.
"Bangunan FAM itu mungkin ada 'saka'. Mungkin kita perlu panggil ustaz-ustaz untuk menghalau 'saka' yang ada dalam bangunan FAM itu supaya ia 'bersih'.
"Supaya hati setiap orang yang ada dalam FAM bersih, bersifat profesional dan mempunyai integriti tinggi apabila diberikan amanah. Bukan bersifat tikam belakang atau dengki."Mereka perlu mempunyai sifat positif, saling tolong-menolong, saling bantu-membantu, bekerja dalam berpasukan dan bukannya mementingkan diri sendiri," katanya.
Tambahnya, FAM juga disaran menamatkan dominasi kepimpinan generasi lama dan memberi ruang kepada orang baharu untuk menerajui badan tersebut.
"Rata-rata mereka yang hadir dalam FAM sudah 'berbau tanah kubur'.
"Mereka tidak sedar bahawa mereka masih ingin terus berkuasa dengan usia yang mereka ada sekarang.
"Saya rasa adalah baik sekiranya kita dapat melihat kepimpinan baharu diterajui oleh orang-orang muda. Saya juga berharap ahli-ahli gabungan berani bercakap benar dan memilih pemimpin muda untuk menerajui serta membawa bola sepak negara ke arah yang lebih baik," ujarnya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Khamis (28 Ogos) ketika mengulas kemelut yang melanda FAM susulan peletakan jawatan Datuk Joehari Ayub sebagai Presiden persatuan itu.
Terdahulu, pada Selasa media melaporkan Joehari menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Jumaat sebelum mengosongkan pejabatnya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Beliau sebelum ini menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang diadakan pada Februari lalu.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, FAM menghormati keputusan tersebut dan mengumumkan pelantikan Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi, sebagai Pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami