KUALA LUMPUR: Susulan kecemerlangan pasukan bola sepak kebangsaan yang berjaya mengikat Korea Selatan pada Khamis, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Peruntukan tambahan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau ditemui media sebelum menunaikan Solat Jumaat di Segambut tengah hari tadi.

Menurutnya, dana itu adalah bagi membantu FAM mengurus pasukan bola sepak kebangsaan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka.

“Saya telah melihat, menyaksikan pertarungan hebat Harimau Malaya malam tadi…menunjukkan keupayaan, kesungguhan, semangat mereka yang tidak gentar.

“Walaupun kalah dalam dua pertarungan tapi menunjukkan satu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat, bertarung dengan satu pasukan yang kuat, Korea Selatan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka. Mara terus dan kerana menunjukkan semangat sedemikian, atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan telah bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta kepada FAM.

“Ia adalah supaya FAM dapat mengurus pasukan bola sepak dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan menyalurkan segera dana tersebut kepada badan induk bola sepak negara itu.

Pasukan Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila mengikat Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Khamis.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu mempamerkan persembahan memukau dengan bangkit dua kali sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 3-3.

Gol pasukan Malaysia dijaringkan Mohd Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales.

Perlawanan itu bukan hanya menjadi tumpuan rakyat Malaysia malah di seluruh dunia sehingga ada yang mengatakan ia merupakan antara perlawananan terbaik dalam edisi kali ini.

Bahkan, gol Mohd Faisal juga dilabel antara terbaik dalam kejohanan apatah lagi selepas beliau bersahaja menggelecek pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae.