SUKAN
Kerajaan setuju percepat kelulusan penubuhan akademi sepak takraw - PM

Kata Anwar, ia selari dengan pencapaian cemerlang pasukan sepak takraw negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju untuk mempercepatkan kelulusan bagi pembangunan pasukan dan Akademi Sepak Takraw.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi merealisasikan penubuhan akademi berkenaan menjelang hujung tahun ini, selari dengan pencapaian cemerlang pasukan sepak takraw negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Sepak takraw telah catat prestasi membanggakan di peringkat rantau dan dunia dan berjaya menarik minat golongan di bandar dan desa, setiap kampung ada pasukan sepak takraw.
"Kita hidupkan ini sebab ia ada kaitan dengan seni budaya kita juga. Oleh itu saya setuju menyegerakan kelulusan penubuhan akademi sepak takraw."Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) minta RM6 juta tapi kita tengok, mungkin boleh runding. Tetapi ia boleh diluluskan segera," katanya dalam ucapan ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, pada Sabtu.
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia, sebagai tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang sudah diberi sebelum ini.
Sementara itu, Yeoh memaklumkan pihaknya telah memohon peruntukan sebanyak RM6 juta bagi tujuan naik taraf fasiliti akademi sepak takraw.
"Itu tanah Kementerian Belia dan Sukan iaitu Institut Sukan Negara dan kita telah beri pajakan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia.
"RM6 juta itu adalah anggaran untuk naik taraf fasiliti sedia ada dan tukar tempat itu jadi akademi sepak takraw.
"Kami ucap terima kasih kepada perdana menteri kerana pentingkan pembangunan sukan warisan rakyat Malaysia," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami