Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kematian pelajar 14 tahun: Lima pelajar dakwa pernah jadi mangsa buli suspek pertama

Sumber: BERNAMA
Alzafny berkata, setakat ini seramai 69 keterangan saksi direkodkan. Gambar kecil Muhammad Idlan Fareeq Shahril. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima pelajar tampil mendakwa mereka pernah dibuli suspek pertama yang ditahan berhubung kematian seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI berkata, setakat ini seramai 69 keterangan saksi direkodkan, membabitkan 53 pelajar, empat guru, tiga warden, enam ibu bapa, dua doktor dan seorang jurulatih tinju.

"Bagaimanapun, masih terdapat beberapa saksi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya di sini pada Rabu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penahanan suspek kedua, iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun, Alzafny berkata, siasatan awal mendapati remaja tersebut dipercayai memanggil mangsa untuk bertemu suspek pertama ketika kejadian.

Malah katanya, siasatan lanjut mendapati suspek kedua disyaki menyepak mangsa sebanyak enam kali ketika pertemuan pertama.

Menurutnya, suspek pertama dan kedua adalah rakan sekolah di tingkatan empat, manakala mangsa juga rakan sekelas mereka bagi aktiviti sukan memanah.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

"Bagaimanapun kita (polis) masih menunggu keputusan analisis spesimen yang dihantar ke Jabatan Kimia selepas bedah siasat tidak dapat menentukan punca kematian,” katanya.

Alzafny berkata, berdasarkan keterangan awal yang diperoleh, mangsa tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia pernah dibuli di sekolah.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

Must Watch Video

Advertisement