TAPAH: Seorang lelaki cedera ditembak dua individu menggunakan senjata api ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.08 petang itu, mangsa berusia 41 tahun tiba di stesen minyak berkenaan dengan menaiki Toyota Land Cruiser berwarna putih untuk mengisi minyak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati sebuah Honda City berwarna hitam datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
Menurutnya, dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.
"Mangsa yang merupakan penumpang kenderaan tersebut mengalami kecederaan selepas terkena satu das tembakan di bahagian bahu kiri.
"Ketika kejadian, terdapat lima individu di dalam kenderaan mangsa dan kesemua individu lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Alwi berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum dirujuk ke sebuah hospital di Ipoh dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Mohd Alwi berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger serta serpihan anak peluru.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan penggunaan senjata api dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyiasat turut menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor serta plaza tol yang dikenal pasti.
Jelasnya, pemeriksaan dan analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.
Terdahulu tular rakaman video CCTV berdurasi 56 saat di media sosial memaparkan kejadian tembakan yang berlaku di sebuah stesen minyak di Bidor pada Selasa. -- Sinar Harian