LIGA Perdana Inggeris (EPL) mendedahkan bahawa jumlah kes COVID-19 baru di kelab-kelabnya telah melebihi angka 100 untuk tempoh seminggu.

Ketua badan pengelola liga itu berkata terdapat 103 kes jangkitan baru sepanjang minggu lalu bermula dari Isnin (20 Disember) sehingga Ahad (26 Disember) lalu.

Ia selepas pengumuman terdapat 90 kes positif pada minggu sebelumnya -- lebih sekali ganda berbanding kes positif sebelum itu.

Keadaan itu menyaksikan banyak perlawanan terpaksa ditunda gara-gara beberapa kelab tidak mempunyai pemain yang mencukupi kerana perlu menjalani pengasingan kendiri selain masalah kecederaan.

Tiga daripada sembilan perlawanan pada Boxing Day hujung minggu lalu turut terpaksa ditunda.

Perlawanan berkenaan melibatkan aksi Liverpool dengan Leeds United, Wolves bertemu Watford dan Burnley lawan Everton.

Selain itu, Aksi Aston Villa menentang Leeds United dan Arsenal bertemu Wolves malam ini turut tidak dapat dilangsungkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, EPL berkata: "Liga ini mengesahkan hari ini bahawa di antara hari Isnin 20 Disember sehingga Ahad 26 Disember, sebanyak 15,186 ujian saringan telah dilakukan ke atas pemain dan staf setiap kelab, terdapat 103 kes positif baru."

Minggu lalu, terdapat pendedahan bahawa 16 peratus pemain dalam EPL masih belum mengambil dos pertama vaksinasi COVID-19.