BINTANG Barcelona, Luis Suarez, percaya ketiadaan Mohamed Salah merupakan satu kehilangan besar buat Liverpool dalam aksi timbal balik Liga Juara-Juara (UCL).

Ketiadaan Salah dan Roberto Firmino dalam pertemuan berdepan Barcelona di Anfield awal pagi Rabu, memberi tamparan hebat untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengejar defisit jaringan 3-0.

Ketika Firmino diketepikan ekoran kecederaan otot, Salah mengalami konkusi ketika membantu Liverpool menewaskan Newcastle United 3-2, Sabtu lalu.

Suarez, yang meledak gol pembukaan dalam aksi pertama di Nou Camp, berkata ketiadaan Salah merupakan tamparan buat Liverpool tetapi memberi amaran kemampuan yang dimiliki The Reds.

"Salah seorang pemain yang penting, dengan berada dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia sejak beberapa tahun lalu.

"Ia merupakan satu kehilangan besar buat mereka tetapi Liverpool masih memiliki Xherdan Shaqiri, Daniel Sturridge, Divock Origi yang harus diawasi," kata Suarez.

Liverpool masih lagi mengejar Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris manakala Barcelona merehatkan barisan utama berdepan Celta Vigo selepas merangkul gelaran LaLiga dua minggu lalu.

Dalam pada itu, Suarez berkata, dia tidak akan meraikan dengan cara yang sama jika menjaringkan gol berdepan Liverpool di Anfield nanti.

Luis Suarez meraikan gol pertama yang dijaringkannya di Nou Camp ke atas Liverpool minggu lepas.

Sebilangan penyokong Liverpool kecewa dengan cara Suarez, yang bersama kelab itu selama tiga setengah tahun meraikan jaringannya.

Suarez memohon maaf kepada penyokong Liverpool sebelum bermulanya perlawanan timbal balik dan mengesahkan tidak akan melakukan yang sama di Anfield.

"Individu yang mengenali sukan ini menyedari kepentingan jaringan dalam aksi separuh akhir UCL," kata Suarez.

"Saya sentiasa menghormati penyokong Liverpool. Saya berterima kasih kepada mereka. Jika saya menjaringkan gol ke atas Liverpool, saya tidak akan meraikannya dengan cara yang sama.

"Liverpool telah banyak membantu saya. Ia membantu saya untuk menjadi lebih profesional dan matang. Beraksi bersama beberapa pemain berpengalaman membantu meningkatkan mutu permainan saya. Dipilih sebagai kapten Liverpool merupakan salah satu perkara yang membanggakan dalam kerjaya saya.

"Faktor utama saya bermain dengan Barcelona, di peringkat elit adalah kerana Liverpool.

"Segala apa yang telah dipamerkan di sini, saya harus berterima kasih kepada Liverpool," katanya.