Ketua bola sepak Jerman pertahankan pemberian Anugerah Keamanan FIFA kepada Trump

Trump menerima anugerah tersebut semasa acara undian Piala Dunia 2026 di Washington pada Jumaat. - AP
WASHINGTON: Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) Bernd Neuendorf mempertahankan keputusan menganugerahkan Anugerah Keamanan FIFA kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami semua berasa lega apabila serangan di Asia Barat berakhir dan satu perjanjian dimeterai. Sejujurnya, perkara itu tidak mungkin berlaku tanpa AS dan tanpa usaha presiden. Dalam hal ini, apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang wajar dihargai," kata Neuendorf.
Trump menerima anugerah tersebut semasa acara undian Piala Dunia 2026 di Washington pada Jumaat. Piala Dunia itu akan dianjurkan oleh AS bersama Mexico dan Kanada.
FIFA berkata anugerah tahunan itu diberikan kepada "individu yang mengambil tindakan luar biasa dalam usaha keamanan."
Trump menerima pingat dan trofi emas daripada Presiden FIFA Gianni Infantino atas usahanya menamatkan konflik di seluruh dunia.
Sementara itu, ketua jurulatih Jerman Julian Nagelsmann berkata, beliau menjangkakan Trump akan memberikan usaha khas untuk memupuk kestabilan global.
"Bagi saya, adalah penting anugerah seperti ini disertai komitmen untuk keamanan dunia pada masa depan. Beliau adalah antara tokoh paling berpengaruh di dunia," katanya.
Pengkritik pula berkata Infantino mencipta anugerah itu khas untuk Trump, memandangkan hubungan rapat mereka sejak bertahun-tahun, malah pernah mencadangkan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan dan memuji usahanya dalam isu Gaza dan Ukraine.
Mereka mendakwa tiada proses pemilihan yang telus, tiada pencalonan dan tiada juri, manakala Majlis FIFA juga dilihat tidak terbabit dalam keputusan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


