BESOK, kita bakal menyambut Hari Sukan Negara yang pertama.

Jutaan rakyat Malaysia bakal turun padang dan bersenam di seluruh tanah air dalam misi kita untuk menjadi sebuah negara bersukan. Daripada aktiviti-aktiviti ikonik dengan ribuan peserta di bandar-bandar hingga ke pertandingan futsal di kampung-kampung, Malaysia bakal mengorak langkah pertama ke arah menjadi negara yang lebih sihat dan cergas.

Apakah tujuan Hari Sukan Negara? Ada yang sinis mengatakan bahawa satu hari setiap tahun tidak mampu mengubah apa-apa. Kita masih lagi corot dalam arena bolasepak dan pencapaian sukan kita juga tidak konsisten.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu temu bual pada 2 Oktober lalu mahukan kemerosotan ranking pasukan kebangsaan diberi perhatian lebih mendalam oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM.

Pasti ada yang beranggapan bahawa Kementerian Belia dan Sukan seeloknya memberi fokus kepada perkara ini dan bukannya mengajak rakyat bersukan pada satu hari setiap tahun.

Sebenarnya, pencapaian sukan berprestasi tinggi tetap menjadi keutamaan kementerian saya dan semua pemegang taruh yang terlibat. Tetapi sukan bukan hanya tentang atlet elit yang kita harap bakal dikalungkan pingat di podium antarabangsa.

Sukan massa atau sukan untuk semua - untuk kita, keluarga kita, dan rakan-rakan kita – merupakan komponen yang sangat penting dalam perancangan dasar sukan negara.

Inilah sebab kenapa kita perlu membina sebuah negara bersukan.

Realitinya, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus.

Bila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita. Saya percaya rakyat Malaysia cintakan sukan. Namun walaupun negara kita dipenuhi dengan pencinta dan pengkritik sukan, gelaran negara bersukan masih jauh dari genggaman Malaysia.

Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan.

Bila tidak ramai anak kecil kita yang bersukan, amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti Lee Chong Wei, Nicol, Pandelela Rinong dan Azizul.

Azizulhasni Awang
Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam acara Keirin pada Sukan Komanwel pada 27 Julai 2014 yang lalu di Glasgow, Scotland . Beliau mendapat pingat gangsa dalam acara ini. - Foto Fail

Natijahnya, usaha menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif ini bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan penglibatan sukan di peringkat akar umbi dan sekaligus membentuk lebih ramai bintang-bintang sukan untuk masa hadapan.

Namun sukan tidak hanya berkisar tentang pencarian jaguh dunia seterusnya tetapi juga penting dalam membentuk Malaysia yang lebih sihat.

Di rantau ini, kita berada di puncak persada ranking penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.

Jika sekarang kita hanya berpeluk tubuh, kosnya bakal kita tanggung di masa hadapan bukan hanya dengan rakyat yang menghidap penyakit kronik tetapi juga kos perbelanjaan perubatan awam yang semakin meningkat demi mengubati penyakit yang boleh kita elakkan melalui gaya hidup yang lebih sihat.

Bila kita lebih sihat, kita akan rasa lebih gembira dan lebih produktif.

Cuba ingati perasaan berkobar-kobar dan produktiviti tinggi yang penah anda rasai selepas bersukan. Sekarang, bayangkan apa yang dapat negara kita capai jika semangat sebegini dapat dirasai secara berterusan oleh seramai mungkin rakyat Malaysia.

Hari Sukan Negara meraikan kesemua perkara ini. Ia mungkin berlangsung satu hari setahun, tetapi Sabtu kedua setiap Oktober ini bakal menjadi tarikh simbolik untuk mengingatkan kita tentang kuasa sukan dalam meniupkan api semangat dan menyembuhkan kita daripada penyakit yang boleh kita elakkan.

Namun mesti ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan jerebu? Untuk pengetahuan semua, satu garis panduan telah disediakan untuk semua penganjur supaya mereka membatalkan sebarang acara dalam kawasan dengan IPU melebihi 150.

Aktiviti dalam kawasan-kawasan dengan IPU yang lebih rendah boleh dijalankan seperti yang dirancang.

Di sebalik hal ini, momentum ke arah Hari Sukan Negara telah diteruskan sejak pelancaran FitMalaysia pada 7 September 2014.

Melalui kempen FitMalaysia di setiap ibukota, ribuan rakyat Malaysia yang mungkin dahulunya jarang bersenam turun ke padang untuk memulakan gaya hidup baharu yang lebih sihat melalui sukan.

Baik penggemar sukan mahupun yang dahulunya tidak ambil peduli, baik yang tua, baik yang muda, mahupun yang berlainan upaya turun bersenam bersama dalam menyahut cabaran FitMalaysia untuk diri mereka masing-masing.

Saya cukup kagum dengan respon rakyat Malaysia dalam dua minggu terakhir menuju ke Hari Sukan Negara. Rakan dan taulan cabar-mencabar melalui video senaman sebagai persiapan ke arah Hari Sukan Negara. Ahli Parlimen menyertai cabaran purata langkahan terbanyak bagi memenangi bantuan kewangan untuk aktiviti sukan di kawasan masing-masing sewaktu Hari Sukan Negara.

Ratusan kedai-kedai sukan terlibat dalam menjayakan jualan murah di seluruh negara sempena Hari Sukan Negara. Yang di ibu negara memenangi tiket percuma jika bersenam di stesen-stesen LRT terpilih dalam kempen Hari Sukan Negara.

Guru-guru, murid-murid, kakitangan kerajaan dan swasta malahan banduan-banduan juga ingin melaksanakan kejohanan sukan masing-masing pada Hari Sukan Negara.

Cabaran untuk membina negara bersukan telah benar-benar disahut oleh seluruh rakyat Malaysia di segenap pelusuk tanah air.

Yang paling penting sekali, di saat Malaysia diselebungi oleh isu-isu yang memecahbelahkan kita, di saat kita lebih melihat perbedaan dan bukannya persamaan kita, sukan adalah satu-satunya perkara (selain makanan) yang mampu menyatupadukan. Bila kita bersorak untuk jaguh sukan negara, kita bersorak sebagai rakyat Malaysia.

Bila kita berlari mahupun berbasikal, bila kita bermain futsal ataupun badminton, kita bersukan sebagai rakyat Malaysia. Sukan berupaya mengatasi pelbagai perbedaan dan menyatukan kita sebagai sebuah negara.

Maka marilah kita bersama-sama merencana perjalanan baharu untuk Malaysia bermula pada Hari Sukan Negara pertama ini. Terdapat lebih 16,000 aktiviti yang bakal dianjurkan di seluruh Malaysia baik di kota-kota besar hingga ke setiap kampung dan desa.

Anda boleh turut serta dalam aktiviti-aktiviti ini ataupun turun bersukan dengan siapa-siapa sahaja, di mana sahaja anda berada. Ajak saudara mara untuk berlari atau rakan-rakan untuk bermain futsal. Yang penting, kita semua mengambil langkah pertama kearah Malaysi yang lebih cergas dan sihat. Inilah semangat sebenar Hari Sukan Negara – satu hari di mana rakyat Malaysia turun ke padang untuk bersukan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Menteri Belia dan Sukan. Layari laman web harisukannegara.my untuk maklumat lanjutt