Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyuarakan rasa tidak senangnya dengan sikap buruk sesetengah pihak yang menganggap diri mereka 'lebih suci dari yang lain' atau ‘holier-than-thou’ apabila bertindak mengkritik penampilan sesetengah atlet wanita beragama Islam di negara ini.

Khairy pada Sabtu turut berkongsi sekeping gambar komik yang dilukis oleh artis VulpineNinja yang menggambarkan dua situasi atlet wanita beragama Islam yang berlainan di media sosial.

Kedua-dua dilihat sedang dikecam oleh pengguna media sosial dengan pandangan tersendiri.

Komik pertama memaparkan seorang atlet wanita berpakaian kemeja tanpa lengan dan bertopi, dengan bangganya sedang memegang pingat emas.

“Hei, saya baru sahaja memenangi acara maraton! Hari ini cukup memenatkan, tetapi saya nak lepak di 'Setabak' (kedai kopi) lepas ini. Nak ikut?,’ tulis wanita berkenaan.

Walaupun meraih pingat emas, dia dilihat sedang dikecam oleh beberapa orang kerana tidak menutup aurat.

Antara komen yang ditinggalkan ialah “nak bersukan pun pakailah tudung!”, “ tak takut masuk neraka ke?” dan “patutlah ramai perempuan masuk neraka.”

Manakala komik kedua menampilkan seorang wanita yang bertudung labuh sedang memegang pingat yang dimenangi oleh adiknya.

Walaupun wanita berkenaan bertudung labuh, kali ini pengamal media sosial dilihat meninggalkan komen-komen berbaur seks di bawah gambarnya.


Khairy yang berkongsi gambar tersebut di akaun Twitternya berpendapat bahawa kisah yang cuba disampaikan oleh komik itu merupakan situasi realiti yang terpaksa dihadapi atlet wanita di negara ini.

“Tidak pasti ciptaan siapa tetapi sangat tepat menceritakan budaya buruk 'holier-than-thou' judgmental Melayu," kata Khairy.

Pada Jun lalu, seorang atlet gimnas Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi dikritik masyarakat Islam gara-gara mendedahkan aurat setelah meraih pingat emas pada Sukan SEA di Singapura.