Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi reaksi positif terhadap usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk terbabit dalam bidaan Piala Dunia.

FAM sebelum ini mengesahkan, akan melakukan bidaan bersama beberapa negara Asean lain untuk saingan Piala Dunia 2034.

Bagi Khairy, cadangan untuk menganjurkan Piala Dunia sudah timbul sejak beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM lagi.

Justeru, Khairy melihat ia sebagai satu kaedah positif dalam usaha meningkatkan tahap bola sepak di rantau Asean.

“Bagi saya, ia merupakan satu idea yang bagus kerana sehingga kini masih tiada pasukan bola sepak negara Asia yang dilihat sebagai gergasi dan dikenali di seluruh dunia. Ini merupakan tindakan yang wajar dilakukan bagi menonjolkan pasukan Malaysia di persada dunia,” kata Khairy dengan teruja.

Tambahnya, beliau bercadang mengadap Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah atau timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat untuk membincangkan bidaan itu.

Sementara itu, Khairy juga akan mengadakan dialog dengan setiap Persatuan Sukan Kebangsaan, bagi mencari kaedah sesuai merangka pogram pembangunan akar umbi yang berkesan.

Beliau juga turut akan mengadakan kunjungan ke jabatan lain di bawah Kementerian Belia dan Sukan, termasuk Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.