Skip to main content

Malaysia

Negeri Sembilan laksana BDR dua hari seminggu berkuat kuasa 15 April - Aminuddin

SEREMBAN, 8 April -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) ketika sidang media di Wisma Negeri, hari ini.  Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) membabitkan lebih 3,000 kakitangan negeri itu selama dua hari seminggu berkuat kuasa 15 April ini selari pengumuman Kerajaan Persekutuan susulan situasi semasa konflik di Asia Barat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) ketika sidang media di Wisma Negeri, hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) membabitkan lebih 3,000 pejawat awam negeri itu selama dua hari seminggu berkuat kuasa 15 April ini, selari dengan pengumuman kerajaan Persekutuan susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penjawat awam yang mempunyai jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala dari rumah ke pejabat dibenarkan BDR pada Selasa, Rabu atau Khamis (ditetapkan oleh ketua jabatan masing-masing), manakala kehadiran secara fizikal diwajibkan pada setiap Isnin dan Jumaat.

Advertisement

“BDR itu merangkumi semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran negeri melibatkan sektor utama iaitu pengurusan dan pentadbiran termasuk kewangan, pentadbiran dan sumber manusia.

"Bagi sektor operasi yang melibatkan jawatan teknikal seperti jurutera, penolong jurutera, penghulu dan penguat kuasa, BDR dibuat secara penggiliran bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus petugas berada di lapangan atau pejabat setiap hari bekerja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Aminuddin berkata kelulusan BDR bagi ketua jabatan dan pegawai kumpulan pengurusan serta profesional tidak diberikan secara automatik sebaliknya perlu mendapat pertimbangan serta kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Beliau berkata pemantauan keberadaan pegawai terlibat akan dilaksanakan secara elektronik melalui Sistem SPOT-Me atau Google Live Location bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.

"Pelaksanaan BDR ini turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan berkanun negeri (BBN) di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tertakluk kepada penerimaan agensi masing-masing,” katanya.

Aminuddin berkata pada masa sama, penjawat awam yang layak itu turut diberi fleksibiliti sama ada menggunakan BDR atau terus hadir bekerja secara fizikal sepenuhnya di pejabat, selain menegaskan pelaksanaan itu akan ditarik semula pada bila-bila masa jika jaminan kualiti kerja tidak diuruskan dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata BDR tidak melibatkan pegawai dari sektor kritikal seperti pertahanan dan keselamatan, kesihatan serta pendidikan yang melibatkan sesi persekolahan.

-- BERNAMA

Must Watch Video