"Singapura dan Vietnam ancaman utama"

Itulah reaksi pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, selepas pasukannya diundi dalam Kumpulan A, bersama dua negara itu untuk temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Turut diundi dalam kumpulan A ialah, Laos, Brunei dan Filipina.

"Kita tahu yang Singapura merupakan pasukan yang kuat. Mereka menjuarai Liga Super dengan majoriti pemain B-23 tahun, Vietnam pula menewaskan Myanmar 3-1 di Myanmar dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

"Jadi kita perlu menilai dulu kekuatan kedua-dua pasukan ini sebelum berdepan mereka.

Kim Swee turut menyedari, skuad Singapura tidak membariskan pemain terbaik mereka ketika saingan Pestabola Merdeka lalu ekoran komitmen beberapa pemain republik itu dengan Latihan Khidmat Negara Singapura.

Untuk saingan di Sukan SEA, V Sundramoorthy dijangka mampu menunrukan pemain-pemain terbaiknya yang diketuai tonggak tengah skuad senior Singapura, Harris Harun.

Sedikit kelegaan buat Kim Swee adalah, barisan negara tidak akan berdepan tuan rumah, Myanmar yang diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Thailand, Timor Leste dan Kemboja.

Dalam perkembangan berkaitan, Kim Swee tidak terlalu risau mengenai kemungkinan Filipina menarik diri dalam saingan bola sepak kali ini.

Kerisauan Kim Swee lebih tertumpu kepada jadual dan waktu perlawanan di Myanmar.

"Keputusan undian dan jadual perlawanan bagi setiap pasukan menyaipkan diri terutama dari segi tarikh dan waktu perlawanan. Ia membolehkan setiap pasukan melakukan persiapan awal," kata Kim Swee.