Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap agar tiada syarat-syarat yang menyukarkan peluang Zulfadli Zulkiffli sertai pasukan kebangsaan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, masa depan Zulfadli dianggap lebih cerah seandainya dia berlatih secara tetap bersama BAM apatah lagi bahagian perseorangan dilihat sunyi tanpa pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Sejak meninggalkan Kelab Raket Kuala Lumpur, KLRC pada 2013, Zulfadli menjalani latihan bersendirian bersama bapanya, Zulkifli Sidek.

Difahamkan Zulfadli lebih gemar andai bapanya turut bersama dalam kem BAM sekiranya dia menerima untuk sertai badan induk itu.

Jelas Khairy, tiada tekanan diberi kepada Zulfadli tetapi berharap dia mampu buat keputusan yang sesuai demi masa depannya.

"Saya sedar dengan syarat-syarat itu daripada dahulu lagi, kita tidak mahu letak apa-apa tekanan kepada beliau dan kita tidak mahu mendesak beliau untuk diserapkan ke dalam BAM. Sudah pasti ini keputusan yang beliau sendiri perlu buat dengan perbincangan dengan bapa beliau.

"Saya telah minta dengan Datuk Ahmad Shapawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara untuk bincang perkara ini dengan Zulfadli dan bapa beliau, sekiranya perlu saya akan jumpa dengan mereka," katanya.

Pada masa sama, Khairy turut menggesa agar mana-mana pemain yang diserap ke dalam BAM agar hormati sistem kejurulatihan yang sedia ada.

Ini kerana amalan membawa masuk jurulatih peribadi dapat mencetuskan konflik dengan barisan jurulatih yang lain.

"Dasar kita adalah bahawa apabila pemain itu masuk, dia mestilah ikut sistem kejurulatihan sedia ada dan kita tidak menggalakkan mereka membawa jurulatih peribadi ke dalam sistem, melainkan jurulatih itu dipilih sebagai jurulatih dalam BAM, dalam sistem BAM," tambahnya.