VINCENT KOMPANY menggesa Manchester City agar mengabaikan gambaran lebih besar menjelang aksi berdepan Brighton and Hove Albion dalam saingan penentuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.

City akan bertandang ke Brighton sambil menyedari bahawa hanya kemenangan yang mampu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan liga dan melenyapkan cabaran Liverpool.

Jika gagal mencatat keputusan selain kemenangan, ia bakal memberi laluan buat The Reds yang menentang Wolverhampton Wanderers di Anfield dan hanya satu mata di belakang juara bertahan itu.

Juara liga tiga kali, Kompany, menegaskan pasukan bimbingan Pep Guardiola itu harus melupakan seketika situasi yang berlaku apabila masuk ke padang.



"Anda perlu cuba abaikan terlalu banyak konteks di dalam perlawanan," ujar Kompany yang menjaringkan gol kemenangan sensasi dalam pertemuan dengan Leicester City, Isnin lalu.

"Konteks bahawa semua situasi boleh berlaku dan secara fakta, ia adalah perlawanan terpenting musim ini serta membolehkan anda memenangi trofi liga, ia tidak memberi makna apa-apa.

"Ia seperti kejuaraan yang diraih sebelum ini. Anda harus fikirkan perkara mudah, seperti Brighton mempunyai kekuatan dan kelemahan, perlu mencari jalan untuk mengatasi kelemahan itu.

"Anda perlu memastikan diri anda berada dalam prestasi terbaik pada hari tersebut. Makan, tidur secukupnya dan beraksi. Saya tidak fikirkannya walaupun sesaat, sebaliknya hanya mahu ke sana dan melalui perlawanan yang bagus.

"Mengenai kemungkinan kami lebih berpeluang untuk menang jika bermain dengan baik kerana kualiti yang ada dalam pasukan, semua keadaan ini tiada kaitan dengan saya ketika ini."

City kini dalam buruan kejuaraan 'treble' domestik setelah menjulang Piala EFL dan bakal beraksi di pentas final Piala FA, sambil kemenangan ke atas Brighton bakal membolehkan mereka menamatkan kempen liga dengan 98 mata, kurang dua mata daripada musim lalu.

"Tidak kira apa berlaku pada hari terakhir, kami telah melalui musim yang hebat dalam Liga Perdana dan prestasi kami sangat konsisten," tambah Kompany.

"Namun, jika mengikut masa lalu, kami sering melepaskan kejuaraan setelah memenanginya. Tahun ini, kami bersaing hebat untuk mendapatkannya dan berada dalam perebutan sehingga hari terakhir. Jadi, itu yang anda harapkan."