HANGZHOU: Berdisiplin, sangat beradab dan peramah.

Itu pujian yang diberikan beberapa pihak termasuk barisan pegawai teknikal antarabangsa terhadap kontinjen negara di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, di sini.

Ketua Kontinjen (CDM) negara ke temasya berkenaan, Datuk Chong Kim Fatt berkata, pujian yang disampaikan kepadanya itu sangat membanggakan kerana barisan atlet negara sememangnya mempunyai satu taraf berbeza dari segi akhlak.

"Saya pergi ke sana dan ke sini termasuk di dewan makan, ramai yang bercakap (tentang) pakaian kita, mereka kata kita berdisiplin, sangat beradab dan peramah, itu sesuatu yang hebat. Saya sangat gembira mendengar pujian-pujian tersebut," katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, Kim Fatt yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, pujian yang diterima itu membuktikan barisan atlet masing-masing memainkan peranan sebagai 'Duta Malaysia' dengan baik untuk menyebarkan imej baik negara di sini.

"Kali ini kita ada buat diplomasi sukan untuk bantu negara kita, ahli sukan kita bukan hanya guna wang negara, mereka pun tolong menaikkan imej negara supaya dapat menarik minat lebih ramai untuk datang melancong ke negara," katanya.

Seramai 289 atlet negara akan beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan bermula secara rasmi pada 23 Sept dan berlangsung hingga 8 Okt ini. - BERNAMA