LEGENDA Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto secara rasmi diumumkan sebagai pengendali Sabah yang baru bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Pengumuman itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, dalam satu sidang media yang turut dihadiri Kurniawan sendiri di Pejabat SAFA di Likas, Kota Kinabalu.

Kurniawan, 43, adalah penjaring terbanyak sepanjang masa Indonesia ketika ini dan beliau akan membimbing skuad Tambadau untuk tempoh semusim bermula 20 Dis.

"Kurniawan mengikat kontrak dengan kita selama setahun dan sekiranya mencapai prestasi baik, kontrak beliau akan disambung lagi mengikut persetujuan kedua-dua pihak.

"Selain itu, turut menyertai pasukan pada musim baru nanti ialah Sofie Imam Faizal, juga dari Indonesia, yang akan bertindak sebagai jurulatih kecergasan pasukan," katanya.

Sementara itu, Peter turut mengumumkan pengendali musim lalu, Jelius Ating, serta pembantunya, Burhan Ajui, sebagai pembantu kepada Kurniawan untuk saingan musim depan.

Katanya, lain-lain pegawai dan barisan jurulatih sebelum ini turut dikekalkan dalam pasukan.

Sementara itu, Peter turut mengesahkan bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Muhammad Zubir Mohd Azmi, serta bekas penjaga gol Terengganu FC, Wan Muhammad Azraei Wan Teh, sebagai pemain import tempatan mereka yang baru.

"Selain itu, kita turut menyerapkan penjaring terbanyak Liga KDM Malaysia yang berakhir baru-baru ini, Shahrizam Sahar, bagi memperbanyakkan lagi pilihan di bahagian serangan.

"Kita juga sedang dalam proses terakhir untuk mendapatkan dua pemain import yang akan kita umumkan kemudian dan bagi satu lagi slot import pemain Asia Tenggara, kita masih mencari pemain sesuai.

"Bagaimanapun, pasukan masih mempunyai masa untuk melengkapkan pasukan selewat-lewatnya awal Januari ini dan saya boleh katakan skuad Tambadau ketika ini sudah 70 peratus lengkap," katanya.

Tambah beliau lagi, seramai 20 pemain daripada musim lalu, termasuk dua pemain import, iaitu Rodoljub Paunovic dan Park Taesu, dikekalkan untuk saingan musim depan.