Lebih 5,000 rakyat negeri ini membanjiri tapak pasar tani Taman Yayasan bagi melihat secara dekat Piala FA yang dimenangi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Barisan pemain JDT yang tiba di sini kira-kira 2 petang ini, disambut meriah penyokong skuad Harimau Selatan itu, yang mula berkumpul di kawasan berkenaan seawal 12 tengah hari tadi.

Kawasan itu juga adalah lokasi terakhir bagi hari kedua Kembara Mahkota Johor 2016, yang diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim yang berangkat tiba kira-kira 3.15 petang, turut diiringi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut berangkat sama adalah kelima-lima anakanda baginda.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat dan barisan exco kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim kemudian dipersembahkan dengan Piala FA 2016 oleh kapten pasukan Safiq Rahim dan ketua jurulatih JDT Mario Gomez.

Pada perlawanan akhir Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam malam tadi, JDT menewaskan PKNS FC 2-1, sekali gus menamatkan penantian menjulang piala berkenaan yang kali terakhir dimenangi pasukan itu pada 1998.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan replika cek bernilai RM100,000 kepada Pegawai Daerah Segamat Mohd Hafiz Ahmad sebagai wakil kepada pertubuhan anak-anak yatim daerah berkenaan.