KUALA LUMPUR: Selepas kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lepas, K. Letshanaa bertekad menunjukkan "taring sebenar" pada kejohanan Piala Sudirman di Suzhou, China yang akan membuka tirai pada 14 Mei ini.

Letshanaa yang kini menghuni ranking ke-76 dunia, sedang berusaha mempertingkatkan intensiti latihan bersama jurulatih perseorangan wanita negara James Chua sekali gus memperbaiki segala kelemahan dimilikinya.

Bagaimanapun, pemenang Cabaran Antarabangsa Uganda 2023 itu masih mencari rentak keserasian bersama regim latihan mencabar yang diperkenalkan James sebaik kembali dalam skuad kebangsaan.

"Saya gembira berada dalam barisan Piala Sudirman dan berharap dapat melakukan yang terbaik kerana tidak mahu mengecewakan jurulatih.

"Kejohanan berpasukan terakhir saya ialah Piala Uber (Oktober 2021) dan selepas itu saya keluar daripada BAM (Februari 2022), jadi ini (Piala Sudirman) merupakan kejohanan kumpulan (berpasukan) terbesar saya selepas kembali," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Beliau turut memasang impian besar untuk berada dalam kelompok 15 terbaik dunia pada hujung tahun ini sekali gus berpeluang menyertai kejohanan bertaraf tinggi.

"Ranking sekarang (ke-76 dunia) agak rendah, jadi saya rasa Piala Sudirman boleh melonjakkan saya ke peringat lebih tinggi dalam kejohanan individu," katanya.

Letshanaa meninggalkan BAM pada tahun lepas berikutan kecederaan belakang yang dialaminya.

Sementara itu, turut menguatkan cabaran Malaysia pada Piala Sudirman ialah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong (perseorangan lelaki); Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Goh Jin Wei, Letshanaa (perseorangan wanita); Pearly Tan-M. Thinaah serta Go Pei Kee-Valeree Siow (beregu wanita).

Empat beregu campuran dalam skuad negara dalam saingan kali ini adalah Teng Jie-Ee Wei; Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing; Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

-- BERNAMA