REAL MADRID bakal bertemu Liverpool dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) selepas penalti Karim Benzema dalam masa tambahan melengkapkan kebangkitan untuk menang 3-1 ke atas Manchester City.

Mendahului 4-3 secara agregat dalam aksi pertama, skuad kendalian Pep Guardiola kelihatan bakal membuat penampilan ke final buat kali kedua berturut-turut apabila Riyad Mahrez meletakkan City mendahului perlawanan pada minit ke-73 di Santiago Bernabeu, tetapi raja kebangkitan Real memastikan slot ke final di Paris dengan kemenangan 6-5 secara agregat.

Rodrygo bertindak sebagai pencetus inspirasi apabila menjadi pemain pertama untuk menjaringkan dua gol pada minit ke-90 perlawanan kalah mati UCL untuk memaksa masa tambahan.

Benzema, yang telah menjaringkan dua gol dalam aksi terdahulu, melengkapkan kemaraan skuad bimbingan Carlo Ancelotti ke final dalam masa tambahan.