SUKAN
Liga Super: Penang FC tampil 80 peratus muka baharu - Jurulatih

Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' Tajaan Rasmi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) kepada Penang FC bagi Musim 2025/2026 di Komtar di sini hari ini.
GEORGE TOWN: Penang FC membuat rombakan besar-besaran dengan menampilkan 80 peratus muka baharu bagi memperkuat pasukan dalam mengharungi cabaran Liga Super 2025/2026 yang akan membuka tirai pada 8 Ogos depan.
Ringkasan AI
- Penang FC melakukan rombakan besar dengan 80 peratus muka baharu termasuk tujuh pemain import, bagi memperkukuh pasukan dan mencapai sasaran berada dalam kelompok tujuh teratas.
- Ketua Jurulatih Wan Rohaimi menyatakan pasukan kini berada di landasan baik selepas enam minggu persiapan, dengan baki tiga minggu sebelum perlawanan pertama menentang Terengganu FC pada 10 Ogos.
- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) menaja RM120,000 buat tahun kedua berturut-turut sebagai sokongan kepada Penang FC bagi musim baharu.
"Kita kini telah memasuki minggu keenam persiapan dan apa saya boleh katakan Penang FC kini berada pada landasan baik untuk mencabar pasukan lain.
"Kita ada baki lebih kurang tiga minggu lagi untuk menyiapkan pasukan supaya tidak lagi mengulangi prestasi terumbang-ambing seperti musim lepas, tetapi setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi pemain ...," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' Tajaan Rasmi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) kepada Penang FC bagi Musim 2025/2026 di Komtar di sini hari ini.
Pada majlis itu, PBBPP menyerahkan tajaan berjumlah RM120,000 buat tahun kedua berturut-turut yang disampaikan oleh Pengurus Besar PBBPP Datuk Cheok Lay Leng kepada Pengerusi Penang FC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Daniel Gooi Zi Sen dan disaksikan Pengurus Besar Penang FC Jeffrey Chew Gim Eam.
Penang FC sebelum ini dilaporkan melepaskan 22 pemain lama dan membawa masuk 20 muka baharu, termasuk tujuh pemain import.
Antara pemain berpengalaman yang direkrut ialah Wan Zack Haikal Wan Noor, Amirul Hisyam Awang Kechik, Bruno Suzuki dan bekas penjaga gol Selangor Khairulazhan Khalid, manakala pemain Australia Dylan Wenzel-Halls menjadi satu-satunya pemain import yang dikekalkan musim ini.
Penang FC dijadual memulakan saingan Liga Super 2025/2026 pada 10 Ogos depan menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami