PEMBINAAN litar lumba Horizon Beranang mengambil masa kurang tiga tahun untuk disiapkan yang rangka awal hanya dibuat pada 2022 sebelum pembinaan dimulakan pada Julai 2023.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeriSelangor, Mohd Najwan Halimi berkata, ia bakal menjadi pusat latihan dan perlumbaan sukan permotoran.

Menurutnya, litar tersebut dibangunkan oleh Horizon Motorsport dengan kerjasama kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Horizon Motorsport merupakan kelab permotoran telah memulakan idea bernas ini untuk membangunkan sukan permotoran bagi membolehkan latihan dan perlumbaan diadakan di sini.

"Litar lumba ini didirikan di tanah seluas 6 ekar dan trek lumba sejauh 1 kilometer dgn 12 variasi litar bergantung kepada keperluan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, kerajaan negeri berharap litar ini diuruskan oleh mereka yang memang profesional terhadap sukan permotoran.

"Ini bagi menjamin kesinambungan sukan ini pada masa akan datang dan juga agar litar ini akan melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran.

" Apabila litar ini siap sepenuhnya nanti, mereka yang berminat boleh terus menghubungi Horizon Motorsport yang saya yakin mereka sudah mengatur perancangan untuk memanfaatkan litar ini kepada semua," katanya. - Sinar Harian