WEST HAM 0 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp mengakui Liverpool kurang cemerlang dalam kemenangan 2-0 ke atas West Ham dengan menggambarkannya sebagai "prestasi normal" di Stadium London, awal pagi tadi.

The Reds meraih ke tiga mata menerusi jaringan penalti Mohamed Salah dalam separuh masa pertama dan umpanannya kepada Alex Oxlade-Chamberlain dalam babak seterusnya membantu rakan sepasukannya itu menghasilkan gol keduanya dalam saingan Liga Perdana (Inggeris) musim ini.

Manuel Lanzini terlepas peluang terhidang buat The Hammers dalam setiap babak berikutan kelekaan barisan pertahanan Liverpool, namun Klopp memilih untuk tidak mengkritik pemainnya dan menegaskan keputusan perlawanan adalah paling mustahak.

"Kami sepatutnya melakukan banyak perkara dengan lebih baik lagi tetapi hanya akan ada sebuah pasukan yang berhak menang," kata pengurus itu kepada Sky Sports.

"Kami patut membuat hantaran dan bertahan dengan lebih baik, siapa yang peduli? Anak buah saya kerap beraksi cemerlang, jadi kali ini adalah satu persembahan yang normal.

"Kami tidak pernah mendapat rentak sebenar 100 peratus, sukar untuk berdepan dengan sebuah pasukan yang gemar bertahan.

Pemain Liverpool meninggalkan padang sambil penyokong pelawat dengan yakin mendendangkan nyanyian bahawa mereka akan menjuarai (Liga Perdana Inggeris), namun pengurus dari Jerman itu masih enggan terbawa-bawa sekalipun mendahului 19 mata di kemuncak liga.

"Mereka boleh menyanyikan apa sahaja yang mereka mahukan," katanya lagi.

"Nyanyian itu tidak bermakna anda sudah memenanginya."

Kekalahan tersebut meletakkan West Ham terus berlegar di sekitar zon penyingkiran dengan hanya perbezaan jaringan membolehkan mereka mengatasi Bournemouth yang berada di kedudukan ke-18.

Selepas perlawanan, pengurus The Hammers, David Moyes, sempat membincangkan ketibaan pemain tengah Republik Czech, Tomas Soucek, secara pinjaman daripada Slavia Prague dan menggambarkan pemain berusia 24 tahun itu sebagai pemain tengah berkaliber yang mampu mencetak gol.

Moyes berkata mereka mungkin akan membawa masuk lebih ramai pemain lagi sebelum jendela perpindahan bulan ini ditutup, sambil menambah: "Saya ingin membawa masuk pemain yang boleh membantu pasukan. Jika kami boleh tambah muka baru maka kami akan melakukannya."