SUKAN
Liverpool tamatkan saga, Alexander Isak ke Anfield

Bagi Liverpool, Isak adalah penyerang serba boleh dengan kualiti teknikal tinggi, kemampuan memegang bola, membuat larian diagonal, dan klinikal di depan gawang. - Foto AP
LIVERPOOL akhirnya menggegarkan pasaran perpindahan dengan menamatkan saga panjang Alexander Isak. Penyerang Sweden berusia 25 tahun itu sah bakal ke Anfield selepas The Reds mencapai persetujuan dengan Newcastle United bernilai £125 juta (RM714 juta), berpotensi meningkat sehingga £130 juta (RM742 juta) sekaligus mencipta rekod perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak Britain.
Perjalanan perpindahan ini penuh drama. Newcastle pada awalnya enggan melepaskan Isak, malah menolak tawaran besar bernilai £110 juta (RM628 juta) pada Ogos lalu.
Namun, keadaan mula berubah apabila kelab itu membawa masuk Nick Woltemade sebagai pengganti.
Dalam masa yang sama, Isak sendiri memberi tekanan enggan berlatih, tidak turun ke pramusim, dan secara terbuka menyuarakan rasa kecewa terhadap pengurusan Newcastle.Semua faktor itu akhirnya membuka jalan kepada perjanjian yang diumumkan menjelang penutupan jendela perpindahan.
Bagi Liverpool, Isak adalah penyerang serba boleh dengan kualiti teknikal tinggi, kemampuan memegang bola, membuat larian diagonal, dan klinikal di depan gawang.
Ini merupakan rekod perpindahan kedua Liverpool musim panas ini, selepas pembelian Florian Wirtz yang juga mencatat angka luar biasa.
Kini, dengan Isak sah menyertai, Liverpool menghantar mesej jelas bahawa mereka bersedia untuk kembali mendominasi pentas domestik dan Eropah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami