PSG 1 MANCHESTER UNITED 3
(United mara menerusi gol laman lawan dengan agregat 3-3)

Manchester United melakar sejarah dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan jaringan penalti Marcus Rashford dalam waktu kecederaan, memastikan kemaraan pasukan itu ke suku akhir selepas menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 di Park Des Princess, awal pagi tadi, walaupun mereka ketinggalan 0-2 dalam perlawanan pertama.

Belum pernah ada pasukan yang tewas dengan jurang dua gol dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati di laman sendiri berjaya bangkit dalam perlawanan kedua, namun United memecahkan kebiasaan itu dengan Rashford menjaringkan gol ketiga The Red Devils - yang turut dibantu sistem video bantuan pengadil (VAR) - selepas jaringan berganda Romelu Lukaku dalam babak pertama.

Walaupun PSG menguasai separuh masa pertama dengan 76 peratus penguasaan, Thilo Kehrer dan Gianluigi Buffon sepatutnya dipersalahkan kerana membenarkan Lukaku, yang di prestasi terbaik, menjaringkan dua gol di samping jaringan penyamaan Juan Bernat dalam babak tersebut

PSG hampir pasti mengesahkan kemaraan mereka sebelum VAR mengakibatkan Presnel Kimpembe dihukum kerana menahan bola menggunakan tangan sebelum Rashford memanfaatkan peluang itu untuk PSG tersingkir dalam pusingan 16 buat tahun ketiga berturut-turut.

Kesilapan Kehrer, yang cuba melakukan hantaran ke belakang kepada Thiago Silva, memberikan United jaringan awal yang dicari-cari apabila Lukaku memanfaatkan kesilapan itu untuk menewaskan Buffon pada minit kedua.

Bagaimanapun, PSG mula menguasai permainan tidak lama selepas itu sebelum menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-10 - Bernat melakukan jaringan mudah sebaik menerima hantaran Kylian Mbappe di depan gawang United.

Di sebalik penguasaan mereka, PSG sekali lagi ketinggalan menjelang waktu rehat ketika Buffon gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh Rashford yang kemudian disudahkan Lukaku sebelum United - yang sedang bergelut dengan kecederaan pemain - terpaksa mengeluarkan Eric Bailly selepas pertahanan itu berdepan terjahan keras Marco Verratti.

United, bagaimanapun, membuktikan PSG perlu membayar harga mahal susulan insiden itu.

Percubaan jarak jauh Diogo Dalot dalam waktu kecederaan terkena tangan Kimpembe dalam kawasan penalti dan selepas ulang tayang, sepakan penalti diberikan kepada United.

Rashford kemudian menyudahkan peluang itu dengan penuh berkeyakinan untuk United melangkah ke suku akhir hasil kelebihan gol laman lawan.