BELGIUM 5 TUNISIA 2

Tujuh gol tercipta di Stadium Spartak, dengan Romelu Lukaku dan Eden Hazard masing-masing meledak dua gol untuk Belgium gah membenam Tunisia.

Ia merupakan satu permainan menyerang yang cukup mengasyikkan dipamer anak didik Roberto Martinez, yang menyaksikan Lukaku kini bersama sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak temasya setakat ini dengan empat gol.

Dua gol pada separuh masa pertama itu juga meletakkan nama Lukaku di Dewan Kemasyhuran bola sepak Belgium sebagai warga negara itu yang pertama menjaringkan empat gol dalam Piala Dunia.

Pemain yang baru berusia 25 tahun itu juga telah menjaringkan tujuh gol, lebih banyak daripada mana-mana pemain Belgium dalam sejarah dalam Piala Dunia dan Kejohanan Eropah disekalikan.

Belgium memulakan parti gol seawal minit kelima pada petang Sabtu itu dengan gol sepakan penalti Eden Hazard selepas dia dikasari Syam Ben Youssef.

Kesilapan pertahanan Ali Maaloul yang berlegar tinggi di garisan tengah padang dimanfaatkan Dries Mertens yang menyedari larian Lukaku, sebelum penyerang Manchester United itu mudah melorong bola menewaskan penjaga gol Farouk Ben Mustapha pada minit ke-16.

Tunisia enggan tunduk awal kepada barisan bintang skuad Belgium apabila pantas mencetus sinar kebangkitan menerusi tampanan Dylan Bronn yang menyambut bola lencong tendangan percuma Whabi Khazri hanya 109 saat selepas gol Lukaku itu.

Namun The Eagles of Carthage gagal mengekang The Beast Lukaku untuk terus memeritkan luka yang dibawa dari kekalahan kepada England tempohari apabila kembali menjarakkan kedudukan pada minit ketiga masa tambahan separuh masa pertama.

Tidak lama selepas bermula babak kedua, Hazard turut menyertai Lukaku untuk mencetak gol keduanya dan keempat buat Belgium apabila menyempurnakan cantik lorongan Toby Alderweireld menuju jaring lawan.

Belum puas, Belgium kekal dengan tempo garang apabila pemain gantian, Michy Batshuayi melancarkan beberapa serangan untuk meruntuhkan kubu Tunisia sehingga akhirnya menemui sasaran daripada hantaran lintang Youri Tielemans.

Anak buah Nabil Maaloul berjaya merapatkan jurang gol sekali lagi menerusi jaringan Khazri pada minit terakhir perlawanan sebelum redha terpaksa meninggalkan Rusia awal, kecuali pendatang baru, Panama mencipta kejutan dengan mengalahkan England bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G.