SINGAPURA: Data terkini YouGov RealTime Omnibus menunjukkan majoriti atau 61 peratus penduduk dewasa melihat penganjuran Grand Prix Formula One (F1) Singapura membawa impak positif kepada republik itu.

YouGov berkata walaupun hanya satu daripada tiga berkata mereka mahu menonton perlumbaan itu di litar atau secara dalam talian (37 peratus), ini menunjukkan bahawa sentimen positif mengatasi sama ada mereka merupakan peminat atau tidak.

Selepas berehat selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, perlumbaan F1 akan kembali ke republik itu hujung minggu ini.

"Bagi mereka yang mahu menonton perlumbaan, sentimen positif adalah lebih tinggi (80 peratus)," kata YouGov, satu kumpulan teknologi data penyelidikan dan analisis dalam talian antarabangsa, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.

YouGov berkata responden ditanya mengenai bidang yang mereka yakin memperoleh kesan terbesar hasil daripada penganjuran Grand Prix di republik itu.

"Pelancongan muncul di tempat teratas, dengan lapan daripada 10 mengatakan ia telah melihat kesan positif (81 peratus)," katanya.

Ia menyatakan bahawa tujuh daripada 10 berkata acara itu telah meningkatkan hiburan (70 peratus), manakala dua pertiga berkata ia telah meningkatkan kedudukan republik itu di peringkat antarabangsa (68 peratus), ekonomi keseluruhan (67 peratus) dan runcit (66 peratus).

Sebaliknya, YouGov berkata bidang yang mungkin paling terjejas ialah alam sekitar (37 peratus), pengangkutan tempatan (26 peratus) dan keselamatan (11 peratus).

Analisis berdasarkan umur menunjukkan bahawa golongan dewasa muda berkemungkinan besar mengatakan bahawa pelancongan dan hiburan memperoleh kesan positif.

Enam daripada tujuh bersetuju dalam kes pelancongan (masing-masing 84 peratus bagi mereka yang berumur 18-24 dan 25-34) dan hampir lapan daripada 10 memilih hiburan (78 peratus bagi mereka yang berumur 18-24; 76 peratus untuk mereka yang berumur 25-34 tahun).

YouGov Real Time Omnibus menawarkan hasil tinjauan pantas daripada warga negara atau kumpulan sasaran dalam pelbagai pasaran.

Kajian ini dijalankan secara dalam talian pada 22 - 24 Sept 2022, dengan sampel mewakili 1,045 orang dewasa di Singapura (berumur 18 tahun ke atas), menggunakan soal selidik yang dibangunkan oleh YouGov.

Data diambil mengikut umur, jantina dan etnik sebagai mewakili semua orang dewasa di Singapura, serta unjuran terkini Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) terkini.

-- BERNAMA