Skuad hoki negara mahu mencari kemenangan apabila turun menentang penyandang juara, Pakistan pada aksi pembuka tirai Kejohanan Trofi Juara-juara Asia QNET di Stadium Hoki Kuantan di sini, esok.

Jurulatih negara, Stephen Van Huizen berkata kemenangan pada perlawanan pertama sememangnya amat ditagih bagi meningkatkan moral pasukan untuk mengharungi kejohanan tersebut.

"Permulaan yang baik pastinya menyuntik semangat juang yang tinggi kepada pemain Malaysia untuk beraksi cemerlang sepanjang kejohanan ini.

"Bagaimanapun, Pakistan bukan pasukan yang mudah ditewaskan dan mereka memiliki sejarah hoki yang hebat.

"Saya pasti pemain negara akan menghadapi perlawanan yang sukar tetapi kami akan berada dalam situasi yang baik jika sentiasa kental melawan dan sebagai jurulatih, saya masih tetap mahukan kemenangan bagi aksi sulung ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kemampuan Malaysia selaku tuan rumah kejohanan tidak boleh diperkecilkan kerana skuad bimbingannya mempunyai keistimewaan untuk muncul sebagai juara.

"Kami rata-ratanya dibarisi pemain berpengalaman termasuk enam yang merupakan pakar pukulan sudut penalti, namun kami tidak hanya mengharapkan gol daripada aspek itu bahkan lebih banyak peluang perlu dicipta menerusi gol padang," katanya.

Menurut Stephen, beliau percaya pasukan negara mampu melakar kejayaan selepas melakukan persiapan rapi termasuk bermain di Liga Hoki Australia.

"Apapun sasaran sebenar kami adalah layak ke Piala Dunia dan kejohanan sebegini menjadi medan terbaik untuk kita menguji pemain muda selain menimba sebanyak mungkin pengalaman," katanya.

Sementara itu, penolong pengurus skuad Pakistan, Mohsin Ali berkata pasukannya sudah melakukan persiapan rapi untuk menyertai kejohanan ini.

"Semua pasukan yang bertanding inginkan kemenangan dan sudah pasti kesemua mereka telah membuat persediaan yang lengkap seperti kami.

"Justeru kejuaraan ini masih belum milik mutlak sesiapa dan kita perlu bermain bersungguh-sungguh untuk menewaskan Malaysia pada perlawanan pertama esok," katanya. - Bernama