PHNOM PENH: Skuad sepak takraw lelaki negara mengesahkan pingat perak selepas menumpaskan Kemboja 3-0 dalam perlawanan terakhir acara berpasukan di Dewan Bola Keranjang NSTC di sini hari ini.

Selepas dikecewakan seteru utama, Thailand pada perlawanan pertama semalam, kejayaan anak buah Ahmad Jais Baharun itu sekali gus menyamai pencapaian pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Dalam saingan hari ini, pasukan kebangsaan dibarisi Amirul Zazwan Amir, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar menyumbangkan mata sulung skuad negara selepas menewaskan regu pertama tuan rumah, 21-10, 21-6.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Afiffudin Mohd Razali dan Muhammad Zulkifli Abd Razak mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menewaskan regu kedua Kemboja 21-5, 21-8.

Regu ketiga negara yang terdiri daripada Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan melengkapkan kemenangan Malaysia apabila mudah menumpaskan trio Kemboja dengan 21-6, 21-8.



SEA-TAKRAW 2 (AKHIR) PHNOM PENH



Mengikut format pertandingan, pasukan teratas dalam saingan round robin itu akan merangkul pingat emas manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga masing-masing meraih perak dan gangsa.

Hanya tiga pasukan menyertai acara berkenaan pada temasya kali ini.

Sementara itu, Ahmad Jais mahu pemain negara memperkemaskan permainan mereka bagi menghadapi saingan acara antara regu dan double yang akan berlangsung selepas ini.

"Alhamdulillah dalam acara berpasukan kita kekalkan pencapaian pingat perak seperti di Hanoi. Saya berharap selepas ini pemain dapat mempamerkan prestasi jauh lebih baik dalam acara antara regu dan double," katanya.

Dalam acara antara regu, beliau mengingatkan pemain agar menampilkan prestasi terbaik dalam kesemua perlawanan yang dijalankan secara round robin itu bagi memastikan pingat emas dalam genggaman Malaysia.

"Perlawanan pertama kita dalam acara antara regu ialah bertemu Thailand. Saya mahu pemain lebih positif kerana kesemua perlawanan dalam acara ini penting kerana pasukan teratas akan menang emas.

"Begitu juga bagi acara double. Semua pasukan menghantar pasukan terkuat dan saingan pastinya mencabar. Mereka perlu menang semua perlawanan kumpulan untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Acara double lelaki akan bermula Ahad ini (14 Mei) manakala saingan antara regu lelaki dijadual berlangsung Selasa depan (16 Mei).

Saingan antara regu hanya melibatkan pasukan Malaysia, Thailand, Singapura dan Kemboja, manakala bagi acara double Malaysia dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Singapura dan Kemboja sementara Kumpulan A terdiri daripada Indonesia, Filipina, Laos dan Vietnam.

-- BERNAMA