KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) telah menyenaraikan 12 kejohanan antarabangsa untuk disertai pemain boling negara, sepanjang tahun hadapan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, disebabkan oleh peruntukan yang terhad daripada Majlis Sukan Negara, kesemua kejohanan itu merupakan anjuran di rantau Asia.

"Kita tidak akan sertai di Eropah disebabkan isu peruntukan, tetapi kami faham kekangan dihadapi. Walaupun kejohanan itu di Asia, tetapi saya rasa kejohanan di rantau ini sudah cukup mencabar.

"Negara seperti Korea Selatan, Singapura mahupun Malaysia sendiri, berkedudukan lima terbaik dunia," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil, pada Rabu.

Maradona berkata, skuad elit berpeluang untuk bertanding di tujuh kejohanan, manakala lima lagi untuk pasukan junior mempamerkan kehebatan mereka di peringkat dunia.

Antara 12 kejohanan tahun depan itu, beliau berkata fokus utama mereka pada tiga kejohanan termasuk dua kejohanan untuk skuad elit iaitu di Thailand - Kejohanan Tenpin Boling Asia pada September dan Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri pada Oktober.

"Skuad junior pula, kita akan tumpukan kepada Kejohanan Remaja Dunia di Korea Selatan pada Julai," katanya.

Dalam masa sama, Maradona berkata, MTBC sedang berusaha untuk membolehkan pemainnya menyertai kejohanan Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) dan Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) tahun hadapan di Amerika Syarikat bersama pemain terbaik dunia.

"Ada pemain akan bertanding di sana atas perbelanjaan sendiri, tetapi kami juga akan cuba mencari dana dan membantu, jika kita boleh dapat penaja untuknya," katanya.

Pada Mei, pemain veteran negara, Zulmazran Zulkifli mencatatkan sejarah tersendiri selepas menjadi pemain boling Malaysia pertama memenangi gelaran PBA di Terbuka Granville Financial Sandhills di New York.

Selain itu, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjadi pemain boling wanita Malaysia pertama memenangi gelaran PWBA, selepas menjuarai Terbuka Wichita pada 2017. - BERNAMA