KUALA LUMPUR: Aspek melahirkan lebih ramai pemain muda berkaliber tidak diambil mudah termasuk dalam skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, kata pengendali skuad B-23 kebangsaan, E. Elavarasan.

Beliau berkata, mengambil contoh negara lain yang meletakkan kepentingan terhadap pembangunan pemain muda, Malaysia turut tidak ketinggalan melakukan perkara sama bagi memastikan Harimau Muda boleh berdiri sama tinggi dengan pasukan rantau Asia lain.

"Sudah semestinya pasukan seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam mereka agak menonjol daripada sudut pembangunan pemain muda mereka.

"Jadi kita juga sedang cuba yang terbaik untuk mengejar mereka," katanya menerusi audio yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sempena Kejohanan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand, yang bermula Khamis.

Pada kejohanan itu, Malaysia yang menyasarkan layak ke final, diundi dalam Kumpulan B bersama Timor Leste dan juara Sukan SEA 2023, Indonesia dengan juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.

Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.

-- BERNAMA