KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil tidak mahu meletakkan tekanan kepada jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa, yang kini sedang memburu slot ke Sukan Olimpik di Tokyo, Julai hadapan.

Menyedari tentangan sengit bakal dihadapi Nauraj dalam percubaannya untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu, Mohd Manshahar percaya pemenang pingat emas tiga kali Sukan SEA itu akan berusaha sebaik mungkin bagi merealisasikan impiannya.

"Saya lebih suka Nauraj melayakkan diri ke Sukan Olimpik secara merit dengan lompatan setinggi 2.33 meter (m), dalam kejohanan yang bakal disertainya nanti.

"Jika layak ikut ranking dunia, saya rasa peluangnya agak sukar, kerana realitinya Nauraj kini berada di kedudukan ke-47 dunia. Ini kerana, hanya 32 atlet (dalam acara lompat tinggi) yang layak beraksi pada Sukan Olimpik," katanya kepada Bernama.

Nauraj yang kini menjalani latihan di Leipzig, Jerman merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan 2.30m ketika menyertai kejohanan Terbuka Singapura 2017.



SUKAN-OLAHRAGA (MANSHAHAR) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Mengenai perkembangan terkini atlet berusia 29 tahun itu, beliau berkata mengikut laporan diterima daripada Nauraj, atlet itu kini berada dalam keadaan terbaik, selain terus fokus dan gigih menjalani latihan di Jerman.

"Saya juga dimaklumkan Nauraj dijadualkan akan menyertai satu kejohanan di Eropah pada bulan hadapan dan diharapkan beliau mengambil peluang ini untuk cuba layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Pada Januari lepas, Nauraj turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri bagi acara dalam dewan di Kejohanan Indoor Track and Field Vienna 2021 di Austria, dengan lompatan setinggi 2.20m, mengatasi rekod 2.19m yang dilakukan pada 2019.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M Muthu berkata, seorang lagi atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei berkemungkinan besar akan diberikan tiket wildcard ke Tokyo berdasarkan rankingnya, sekiranya tiada atlet negara yang layak secara merit.

Berdasarkan ranking terkini World Athletics, Lee menghuni tangga ke-18 terbaik dunia dengan mengumpul 1,235 mata.

Sementara itu, Mohd Manshahar berharap kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil dari 10-11 April ini, tidak ditangguhkan bagi membolehkan atlet negara kembali beraksi setelah lebih setahun tidak menyertai sebarang kejohanan, susulan pandemik COVID-19.

Katanya kejohanan GP Malaysia itu merupakan medan terbaik untuk menguji tahap prestasi dan persediaan atlet menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam selain Sukan Asia di Hangzhou, China dan Sukan Komanwel di Birmingham, England, kedua-duanya pada 2022.

-- BERNAMA