BINTANG tenis wanita dunia Maria Sharapova menyangkal dakwaan laporan media yang menyatakan beliau menerima amaran sebanyak lima kali mengenai senarai bahan dadah terlarang untuk 2016.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook yang dituju khas untuk peminatnya, Sharapova menjelaskan keadaan sebenar.

Sharapova berkata pada 18 Disember beliau menerima emel dengan “Player News” sebagai subjek emel berkenaan.

Namun, beliau berkata emel berkenaan mempunyai pelbagai maklumat seperti perlawanan terkini, senarai kedudukan, papan buletin dan juga senarai bahan dadah terlarang.

Namun, untuk ke senarai itu, beliau berkata seseorang pembaca harus klik pelbagai link.

BACA: Maria Sharapova gagal ujian doping

“Dalam kata lain, untuk seseorang membaca ‘amaran itu’, beliau harus membaca emel yang mempunyai subjek yang tiada kena mengena dengan isu doping.

"Nama yang digunakan pun lain untuk perubatan yang saya gunakan.

“Saya rasa sesetengah media boleh anggap itu sebagai amaran. Namun ramai akan anggap ia sebagai maklumat yang susah untuk dicari,” katanya dalam catatan di Facebook itu.

Beliau turut mengakui ada menerima kad yang menyenaraikan bahan dadah terlarang untuk 2016.

“Dokumen ini mempunyai ribuan perkataan, terutamanya perkataan teknikal dan dalam cetakan kecil. Haruskan saya belajar semua itu? Ya.

“Tetapi jika anda melihat dokumen ini, anda akan tahu apa yang saya maksudkan.

To My Fans:I want to reach out to you to share some information, discuss the latest news, and let you know that there...

Posted by Maria Sharapova on

"Sekali lagi, tiada alasan ... tetapi ia adalah salah untuk mengatakan saya telah diberi amaran sebanyak lima kali," katanya lagi.

Beliau turut berkata Persekutuan Tenis Wanita akan menerima rekod perubatan terperinci dan menentukan tindakan susulan.

“Saya berharap akan dapat bermain semula. Walaubagaimanapun, saya mahu anda, peminat saya, mempunyai segala fakta-fakta,” kata Sharapova.

Dalam sidang media khas yang diadakan di Los Angeles pada Isnin, Sharapova mengakui hasil ujian menunjukkan kesan positif bagi bahan dadah terlarang meldonium.

Meldonium dilabel bahan dadah terlarang sejak Januari tahun ini oleh Agensi Anti-Doping Dunia.