SUKAN
MAS buru perenang warisan, ikut jejak langkah Singapura

Marilyn menegaskan bahawa perenang warisan perlu membuktikan kemampuan mereka untuk mewakili negara. - Foto Malaysia Aquatics
KUALA LUMPUR: Akuatik Malaysia (MAS) memperhebat usaha mengenal pasti dan merekrut perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut diguna Singapura.
Ringkasan AI
- Akuatik Malaysia (MAS) mencari perenang warisan MAS sedang aktif mengenal pasti bakat dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara untuk memperkuat pasukan renang kebangsaan, seperti yang dilakukan oleh Singapura.
- Pemilihan berdasarkan merit Perenang warisan hanya akan dipilih jika mereka memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti masa renangan dan kedudukan ranking, tanpa kompromi.
- Pelantikan baharu dalam MAS Andy Low dan Yan Kong Lee dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari, manakala lima individu lain menang jawatan Ahli Jawatankuasa dalam Mesyuarat Agung Tahunan MAS.
"Sehingga kini, kami telah mengenal pasti sekitar lima perenang berusia antara 14 hingga 19 tahun," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Akuatik Malaysia (MAS) di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini pada Sabtu.
Penggunaan atlet warisan bukanlah perkara baharu dalam sukan negara, khususnya bola sepak yang telah lama mengguna pakai pendekatan itu bagi memperkuat skuad kebangsaan.
Mengulas lanjut, Marilyn yang juga Timbalan Presiden MAS menegaskan bahawa perenang warisan perlu membuktikan kemampuan mereka untuk mewakili negara.
Katanya pemilihan hanya akan dibuat sekiranya perenang berkenaan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MAS.
"Sukan renang sangat objektif kerana ia berdasarkan catatan masa. Jika mereka memenuhi standard masa yang ditetapkan, mereka akan dipilih berdasarkan merit.
"Mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan juga bersaing dengan perenang tempatan dari segi ranking," katanya.
Dalam AGM tersebut, Andy Low dan Yan Kong Lee secara rasmi menerima mandat daripada Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menggalas jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari.
Sementara itu, lima jawatan Ahli Jawatankuasa yang dipertandingkan dimenangi oleh Tasha Jane Taher Ali, Goh Kah Yo, Chee Pao Kam, Haris Lua Abdullah dan Sung Jun Hao.
Terdahulu, Shahidan bersama Marilyn, Anthony Ang (Naib Presiden) dan Nurul Huda Abdullah (Penolong Setiausaha) menang tanpa bertanding bagi jawatan masing-masing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami