BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, meraih kejuaraan ketiga selepas kembali digandingkan tahun ini apabila menjuarai Kejohanan Badminton Masters Abi Dhabi di JADNEC Marina Hall malam tadi.

Selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu dan Masters Kaohsiung pada September lalu, gandingan negara itu menambah koleksi gelaran berkenaan dengan mengungguli aksi final kali ini, di mana mereka menewaskan beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga.

Sze Fei dan Nur Izzuddin tewas 18-21 dalam set pertama tetapi mereka kemudian bangkit mencatatkan kemenangan 21-17 dalam set kedua.

Aksi dalam set penentuan kemudian jelas menjadi milik beregu negara itu, di mana mereka mudah meraih kemenangan 21-12 untuk bergelar juara selepas bertarung selama 52 minit. - Stadium Astro