KUALA LUMPUR: Pasangan beregu badminton utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi pusingan pertama Terbuka Indonesia 2022 di Jakarta semalam, selepas mengalahkan pasangan senegara Tan Kiang Meng-Tan Wee Kiong.

Pasangan nombor enam dunia itu, mengambil masa 36 minit untuk mengalahkan lawan mereka 21-11, 21-19 pada kejohanan berlangsung di Istora Senayan.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu akan berhadapan pasangan tuan rumah Leo Rolly Carnado-Daniel Mathin, selepas pasangan itu mengalahkan Ben Lane-Sean Vendy dari England 10-21, 21-13, 21-12.

Sementara itu pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkeluar awal selepas tewas kepada pasangan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 15-21,19-21 pada perlawanan pusingan pertama mereka.

Pasangan beregu camputan kebangsaan Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei pula layak ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung, 21-19, 21-13.

Pasangan bukan pilihan Pang Ron-Ee Wei akan berhadapan Tang Chun Man-Tse Ying Suet selepas pasangan dari Hong Kong itu menewaskan pasangan Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-9, 21-16.

Pada masa yang sama, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia meneruskan momentum kemenangannya sejak beliau menang Kejohanan Badminton Asia di Filipina bulan lepas, dengan mengalahkan pemain Thailand Kantaphon Wongcharoen, 21-16, 21-12.

Pemain pilihan kelima kejohanan akan berhadapan Mark Caljouw selepas pemain Belanda itu mengalahkan Sun Fei Xiang dari China, 21-17, 21-17.

Bagaimanapun pemain veteran Liew Daren gagal melayakan diri ke pusingan kedua selepas beliau tewas kepada Guang Zu dari China, 16-21, 21-23.



Keputusan lain:

-------------------



(Nota: Malaysia kecuali dinyatakan)



Perseorangan Lelaki:



Chou Tien Chen (TPE) mn Soong Joo Ven 21-15, 22-20



Beregu Wanita:



Arlya Nabila These Munggaran-Agnia Sri Rahayu (INA) mn Low Yeen Yuan-Valeree Siow 21-18, 21-16



Beregu campuran:



Mathias Christiansen-Alexandre Boje (DEN) mn Choong Hon Jian-Peck Yen Wei 21-13, 11-21, 21-19



Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran (THA) mn Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-17, 21-16.

-- BERNAMA