SPORTS
Maybank Challenge Cup 2025: 'Tiada Liga Juara-Juara bukan satu masalah' - Amorim

Ketua jurulatih Manchester United, Rúben Amorim (tengah) bergambar bersama penganjur dan wakil ASEAN All Stars pada sidang media rasmi Maybank Challenge Cup 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Selasa. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengendali Manchester United, Rúben Amorim menegaskan bahawa kegagalan kelab itu layak ke Liga Juara-Juara musim depan bukan satu masalah, sebaliknya membuka ruang untuk membina semula pasukan secara lebih strategik.
Dalam sidang media menjelang Maybank Challenge Cup 2025 menentang ASEAN All Stars, beliau menjelaskan bahawa kelab telah lama menyediakan pelan alternatif.
“Kami sentiasa ada dua rancangan. Satu dengan Liga Juara-Juara, satu tanpa.
“Tanpa kejohanan itu, kami tidak perlukan skuad besar, dan boleh kawal pasukan dengan lebih baik,” ujar jurulatih dari Portugal itu pada Selasa.Tambah beliau, perbelanjaan musim panas ini tetap akan dikawal kerana kekangan Peraturan Kewangan UEFA, malah keadaan itu tidak akan banyak berubah sekalipun United layak ke kejohanan Eropah.
“Pelan kami adalah memperbaiki pasukan sedia ada, dan memberi tumpuan kepada akademi.
“Ia pernah menjadi kekuatan kelab ini, dan saya percaya ia boleh jadi masa depan kami semula,” katanya.
Menurut Amorim, membina pasukan dari kekuatan pemain akademi lebih penting berbanding pembelian besar-besaran.
United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2024–25 di tangga ke-15, kedudukan terburuk mereka sejak 1974.
Kekalahan kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa di Bilbao turut menutup terus peluang mereka ke kejohanan Eropah musim depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami