BINTANG Brazil, Neymar dikecam teruk khususnya oleh penyokong Paris Saint-Germain (PSG) kerana mengeluarkan kenyataan bahawa memori terindah dalam karier adalah ketika bermain untuk Barcelona mengalahkan PSG, kelabnya ketika ini.

Bapanya, Neymar Santos Sr tampil mempertahankan anaknya dengan mengatakan bahawa Neymar tidak berniat menghina kelab Perancis itu.

“Mengatakan komen spontan dan jujur ini sebagai provokasi kepada kelabnya adalah sikap yang tidak baik yang mana bertujuan untuk mewujudkan kontroversi sedangkan ia tidak wujud.

“Anak saya tidak berniat untuk tidak menghormati PSG atau pemain yang beraksi dalam perlawanan pada 2017, ada antara mereka yang kini rakan sepasukannya,” katanya kepada media Perancis, L’Equipe.

Neymar, 27, sudah lama dikatakan tidak gembira beraksi bersama PSG malah dilaporkan tidak menyertai latihan dan aksi pra-musim kelab tersebut.

Penyerang itu dilihat berkemungkinan besar akan meninggalkan Paris, paling kuat dikaitkan dengan khabar angin bahawa dia akan kembali ke kelab lamanya, Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini selain turut dikaitkan dengan kelab seterunya, Real Madrid.

Pada Sabtu, Neymar menyemarakkan kontroversi yang sudah sedia membelenggunya dengan mengatakan bahawa kemenangan besar Barcelona ke atas PSG 6-1 pada saingan Liga Juara-Juara Eropah 2017 sebagai kenangan terindah dalam kariernya.

“Ada dua: kemenangan kami di Olimpik bersama Brazil (pada 2016) dan apabila kami menang ke atas Paris bersama Barcelona.

“Apa yang kami rasakan ketika menjaringkan gol keenam adalah sangat hebat, ia sangat gila, kami semua jadi gila. Saya rasa itu memori terindah buat kami semua,” katanya pada L’Equipe.

Kenyataan Neymar Sr kepada L’Equipe dilihat hanya menambah minyak pada api yang sudah marak, tetapi bapanya itu tetap bertegas bahawa kontroversi itu sengaja dicipta.

“Mengenang pencapaian dalam karier anda tidak boleh dianggap sebagai kurang ajar.

“Anak saya adalah atlet PSG, tetapi dia tidak boleh menafikan kisahnya, yang membawanya ke kelab Perancis itu,” ujarnya.