Mexico berjaya ke pusingan kedua apabila menewaskan Croatia 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Dunia 2014 di Arena Pernambuco, Recife awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut meletakkan pasukan El Tri itu sebagai naib juara kumpulan setelah mengambil kira perbezaan gol dengan pasukan tuan rumah, Brazil.

Separuh masa pertama menyaksikan Mexico mendominasi permainan namun sesekali diserang balas oleh Croatia.

Mexico
Rafael Marquez (tengah) meraikan kemenangan - (AP Photo/Hassan Ammar)

Ia kelihatan agak hambar kerana tiada sebarang jaringan dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Pada separuh masa kedua, rentak permainan mulai berubah dan menjadi semakin rancak.

Gol pertama Mexico telah dijaringkan pada minit ke-72 menerusi tandukan kapten pasukan, Rafael Marquez hasil dari sepakan sudut Hector Herrera.

Pada minit ke-75, Mexico menjaringkan satu lagi gol menerusi pemain sayap kiri, Andres Guardado.

Mexico
Pasukan Mexico meraikan jaringan kedua pasukan itu - (AP Photo/Ricardo Mazalan)

Ia terhasil dari hantaran pantas antara Javier Hernandez dan Oribe Peralta, di mana Peralta membuat ‘cross’ ke arah Guardado yang kemudiannya merembat cantik ke dalam gol Croatia, menewaskan penaja gol, Stipe Pletikosa.

Mexico sekali lagi menunjukkan taring apabila berjaya menyumbat satu lagi gol pada minit ke-82 menerusi Hernandez.

Namun pada minit ke-87, Croatia menyerang balas dengan menjaringkan satu gol menerusi pemain tengahnya Ivan Perisic.

Bagaimanapun usaha Croatia untuk bangkit itu sudah terlambat, apatah lagi bila pemain gantiannya, Ante Rebic diarah keluar padang dan Croatia terpaksa bermain dengan 10 orang.

Dia dilayangkan kad merah kerana mengasak betis pemain tengah Mexico, Carlos Pena.

Keputusan penuh perlawanan ialah Mexico 3-1 Croatia. Mexico akan berdepan dengan Belanda pada perlawanan pertama pusingan kedua nanti.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Andres Guardado (Mexico)