SUKAN
MFL tegas hukuman ikut manual

Menurut Mohd Shazli, MFL telah membentangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah dan keputusan dibuat berdasarkan manual liga serta kes sebelum ini.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memperjelaskan setiap tindakan penggantungan dan denda terhadap pasukan Liga-M (Liga-M) adalah berpandukan manual pertandingan dan perlembagaan yang diguna pakai sejak penubuhan liga profesional itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, berkata penggantungan serta denda terhadap pasukan yang melanggar syarat pelesenan adalah berasaskan peraturan selain merujuk kepada kes-kes terdahulu membabitkan PJ City FC, Kelantan FC, Sarawak United dan Perlis.
Malah menurutnya, keputusan terbaharu yang melibatkan Perak FC, Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC juga tidak terkecuali daripada menggunakan prinsip yang sama.
“Perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, dan keputusan dibuat berdasarkan manual liga serta kes sebelum ini.“Bezanya, Sri Pahang digantung setahun kerana memiliki Lesen Kebangsaan tetapi memilih tidak meneruskan penyertaan, manakala Kedah dan Perak gagal dalam pelesenan kelab lalu dikenakan penggantungan dua tahun.
“Ini berdasarkan kepada manual liga dan perlembagaan yang ada dalam liga,” katanya semasa mengunjungi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Bukit Jalil, baru-baru ini.
MFL sebelum ini mengumumkan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC digantung dua musim bermula 2025–2026 hingga 2026–2027, manakala Sri Pahang digantung setahun bagi musim 2025/26.
Malah ketiga-tiga gergasi bola sepak tanah air berkenaan itu juga turut hilang hak ke atas wang agihan merit Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
Mohd Shazli juga menyifatkan tindakan berkenaan bukan satu keputusan yang mudah kerana pasukan terbabit mempunyai penyokong besar.
Namun Mohd Shazli menegaskan tindakan tersebut sebagai proses pembelajaran supaya syarat pelesenan dipatuhi semua. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami