PEMAIN tengah Perancis, Adrien Rabiot memuji persiapan juara dunia bertahan itu untuk Piala Dunia Qatar ketika pasukan berusaha menebus penyingkiran awal pada Kejuaraan Euro tahun lalu.

Membuat penampilan pertama Piala Dunia selepas gagal tersenarai dalam skuad yang memenangi kejuaraan empat tahun lalu, Rabiot berkata, pasukan itu melakukan persiapan tanpa gangguan di Doha, Qatar, tidak seperti tahun lalu.

“Yang paling penting kami perlu kekal bersatu. Jadi kami tidak melihat di luar kumpulan yang boleh menjejaskan moral kami. Kami berpotensi melakukan lebih baik daripada di Euro.

“Kami banyak masa kali ini. Ketika Euro wabak Covid-19 masih menular dan kekangan serta peraturan masih berkuat kuasa menjadikan kehidupan kami sukar," kata Rabiot menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Australia pada 22 November.

Juara dunia itu tersingkir daripada Euro tahun lalu pada peringkat 16 pusingan selepas tewas kepada Switzerland.

"Di sini kami menikmati keselesaan dan boleh bersama-sama serta mengabaikan segala-galanya yang di luaran," katanya.

Perancis kehilangan beberapa tonggak termasuk Presnel Kimpembe, Paul Pogba dan Ngolo Kante manakala penyerang Karim Benzema dan Raphael Varane masih dibelenggu kecederaan.

“Mereka sedang mengusahakannya dan saya percaya mereka akan bersama menyertai pasukan tidak lama lagi.

“Mereka adalah pemain penting tetapi malangnya mereka tiada di sini hari ini jadi kami perlu melakukannya tanpa mereka," kata Rabiot.

KUMPULAN D

22 November

Denmark lwn Tunisia, 9 malam

23 November

Perancis lwn Australia, 3 pagi

26 November

Tunisia lwn Australia, 11 malam

27 November

Perancis lwn Denmark, 12 tengah malam

30 November

Tunisia lwn Perancis, 11 malam

- Sinar Harian