Pemain pasukan Mysterious Assassins (MyA) Muhammad Hilmi Abd Halim (Sh4dow) tidak menjangka akan dinobat sebagai pemain terbaik KDA (Kill-Death-Assist) dalam Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura 2018.

Pada saringan peringkat kumpulan MPL yang berlangsung selama tujuh minggu, Muhammad Hilmi mendapat 68 Kill (mata menewaskan musuh), 27 Death (mati ditewaskan), dan 138 Assist (membantu menewaskan musuh) yang membawa kepada nilai keseluruhan mata 9.9.

Menurut Muhammad Hilmi, pemilihannya sebagai pemain terbaik KDA adalah cukup bermakna memandangkan saingannya terdiri daripada pemain-pemain terbaik dunia.

"Saya memang tak sangka. Pemain-pemain lain mempunyai peluang lebih besar seperti Lim Yang (Ly4ly4ly4) daripada pasukan IDNS Singapura yang pernah menjadi pemain nombor satu dalam ranking global Mobile Legends.

"Peluang untuk saya mendapatkan mata KDA terbaik sebenarnya susah memandangkan posisi saya adalah sebagai Mage dan Support," katanya dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Mobile Legends: Team Saiyan capai sasaran, ungguli tempat teratas MPL 2018

Jelas Muhammad Hilmi, walaupun menyedari mata KDAnya meningkat selepas perlawanan ketiga dalam liga itu, dia hanya mahu memberi fokus untuk membantu pasukannya menang bagi setiap perlawanan.

Katanya, jika dia terlalu memberi tumpuan untuk mengumpul mata KDA, ia akan mengganggu dan menjejaskan corak permainannya.

"Saya hanya mahu bantu pasukan saya untuk menang. Itu lebih penting daripada KDA.

"Apabila saya diumum sebagai pemain terbaik KDA, saya sangat gembira dan pada masa yang sama terkejut," kata anak muda berusia 25 tahun itu.

Muhammad Hilmi membawa pulang hadiah wang tunai AS$500 (kira-kira RM1,950).

Muhammad Hilmi dan MyA bakal berentap bersama tujuh pasukan lain dalam pusingan kalah mati MPL Malaysia dan Singapura yang akan berlangsung pada 13-15 April depan di Pusat Membeli-Belah 1 Utama.

Kejohanan Mobile Legends ini menawarkan hadiah wang terkumpul berjumlah AS$100,000 (kira-kira RM390,000).